Monday, May 17, 2010

Cahaya Allah

Berbahagialah mereka yang mendapat cahaya Allah sehingga dipermudahkan perjalanan mereka. Dan bagi yang belum melalui jalan-jalan ini, janganlah berasa terpencil dan hilang harap. Allah itu amat mengetahui apa yang baik untuk hamba-hambaNya. Bersyukur dan redhalah dengan apa yang tetapkan untuk kita. Jangan dikhuatiri bahagian oranglain kerana bahagian kitapun penuh dengan rahmatNya. Sudah tersusun hikmah-hikmahnya jika kita benar-benar dapat menghayati rahasia ini.

Allah berfirman di dalam surah Al-Jin ayat 11: "Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza."

Begitulah betapa jalan-jalan kita telah ditetapkan menurut kebijaksanaan dan pengetahuanNya. Di antara ‘yang baik’ itu janganlah pula memandang rendah pada yang ‘kurang’ baik. Bagi yang dipermudahkan janganlah memperlekehkan mereka yang ‘berat’ kerana ini bukanlah adab orang-orang arif.

"Tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu)." An-Nahl 69.

Bersyukurlah pada anugerah besar yang dikurniakan Allah bagi orang-orang yang berbahagia ini. Di mana antara kita dipermudahkan dengan jalan fiqhi, ada dengan jalan falsafah (golongan mutakallimin), dan ada dengan jalan tasauf hingga memperolehi tajalli sebagaimana dihajati. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Insan 30: "Dan kamu tidak mampu (menempuh jalan itu), kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Destinasi terakhir perjalanan seorang fakir adalah makrifah. Tetapi makrifah ini bukanlah dapat dihasilkan menerusi pemikiran manusia atau dicapai dengan jalan usaha. Ianya kurniaan Allah semata-mata bagi yang terpilih dan sanggup menerimanya. Apapun Allah lebih mengetahui. Seperti kata Zunnun al-Misri: "Aku mencapai makrifah dengan kurniaan Tuhanku. Jikalau bukan kerana dikurniakan, maka aku tidak memperolehinya."

Mudah-mudahan kita dipilih demi kasih-sayangNya sepertimana firmanNya: "Cahaya di atas cahaya Allah mengurniakan NurNya siapa-siapa yang dikehendakiNya." Amin….

No comments:

Post a Comment