Tuesday, October 28, 2008

Akan kucium keningmu

Apakah aku ini begitu asing? Bahasakukah yang asing, lengokkukah yang asing atau daerahku yang asing. Begitu asing sehingga engkau tidak melihat aku ini lemah. Jahilnya aku di daerahmu, kerdil pula aku di daerahku. Aku bukan hebat sehingga perlu diasingkan dan tidak gagah jika mahu dirobohkan...

Apakah aku ini begitu buruk hingga dicurigai? Atau terlalu bahaya untuk didekati? Bukankah aku ini penari yang patah kaki atau penghibur yang patah hatinya. Aku ini cuma melukut, jika diberi tidak diambil orang, jika disimpan tidak dicari teman.

Jika aku ini raja, aku akan adil terhadapmu. Jika aku ini jelata, akan kujunjung titahmu. Dan jika aku seorang kekasih, akan kucium keningmu...

Wahai, kenapakah aku ini masih asing bagimu...

Kata-kata ajaib

Aku bukan hina di antara yang mulia, bahkan aku lebih mulia di antara yang mulia. Pun begitu, aku bukan mulia di antara yang hina, malah aku lebih hina di antara yang hina. Engkau tidak dapat mengubah keadaan ini dan engkau tidak pernah menduga sedikitpun...

Jika malaikat dikatakan mempunyai 600 sayap lebarnya dari ufuk timur ke barat tetapi memeluk Nabi walhal Gua Hira' itu sempit sekali - apakah hikmahnya berita ini. Jika syurga itu cuma sungai yang mengalir - di manakah harganya lautan pahala...

Andainya tafakur sesaat umpama 70 tahun ibadah - manakah ukuran setahun puasa atau solat yang panjang...

Jangan kecewa jika dikatakan kepada Adam - 2,000 tahun sebelum baginda, Kaabah sudah didatangi orang!

Inilah kejutan dari sesuatu yang tidak pernah kita duga seperti sabda Rasulullah: "Demam panas itu adalah golakan api neraka." Walhal baginda wafat akibat deman panas itu sendiri...

Apakah sebenarnya yang kita pelajari dari kata-kata ajaib ini...?

Jika bukan aku siapakah kamu?

Wahai sahabat, aku tidak ke mana-manapun. Tidak juga di atas dan tidak juga di bawah. Tidak juga di hadapan dan tidak juga di belakang. Aku hanya bersama diriku dan kembali tetap pada diriku. Jika aku keluar, aku keluar kerana menyahut pujian dan kejianmu ke atas diriku.

Ketika engkau memujiku dengan menyebut-nyebut namaku, itu bukanlah aku. Ketika engkau mencaciku dengan membentak-bentak namaku, itu juga bukanlah aku. Aku hanyalah nama tetapi itu BUKAN aku!

Ketika aku mencari Tuhanku aku temu diriku dan ketika aku mencari diriku aku temu Tuhanku dan tidak kutemui apa-apa namapun di sana. Seakan-akan kami ini satu, atau satu dalam dua, atau dua dalam satu. Ini jestru dekatnya antara kami bahkan tidak terpisah sesaatpun...

Aku ini adalah aku dan aku itulah nama sebenarku. Tanyakan pada dirimu wahai sahabat, bukankah aku itu nama milikmu. Ayah dan ibumu juga memiliki nama yang satu, AKU! Jika bukan aku siapakah kamu?

Khusyuklah dalam solatmu wahai sahabat dan perhatikan kami ini sebaik-baik kejadian. Jika engkau terhenti dalam 'keakuan', tetaplah engkau dalam ketaqwaan kerana ia tempat terbaik untuk berhenti. Jika engkau khusyuk dalam solatmu, sempurnakan benih redhamu kerana di sana tempat terbaik bertemu mu'mainnahmu...

Berulang-ulang

Itulah yang telah kukatakan berulang-ulang, khusyuklah dalam solat, supaya engkau tetap aman. Jangan pula berkata: "Aku ini khusyuk dalam solatku." Itu tanda engkau belum khusyuk lagi. Seperti orang mengaku sudah 'sampai' bermakna belum sampai. Seperti orang mengaku ikhlas, itu tanda belum ikhlas...

Khusyuklah dalam solatmu kerana Dia hanya menerima solatnya orang yang khusyuk. Jika engkau tidak khusyuk maka neraka waillah tempat bakaranmu. Dan ini bukanlah perkataanku tetapi peringatan jelas dari Tuhan Yang Satu.

Apakah engkau sangka selama ini aku berjenaka? Apakah engkau tidak puas-puas lagi ketawa? Jika engkau ketawa hingga terbitnya matahari di ufuk barat sekalipun, aku tetap berkata benar dan berulang-ulang, tanpa gelak mahupun sendaan...

Khusyuklah dalam solatmu, wahai teman...

Kota London

Ketika melewati kota London, aku seolah kehilangan Tuhanku. Biarpun kucari di mana-mana namun tidak juga terjumpa. Hampir seminggu aku terbelenggu, terasing dan terganggu: "Apakah Tuhanku tidak ada di sini?"

Begitulah dhoifnya hambaMu ini wahai Tuhan. Pengenalan yang kusangka jelas cuma tergambar dalam bangsa dan kebudayaan yang ada. Tanpa masjid dan lilitan serban aku kehilangan rupa Tuhan...

Kemudian, aku bertemu Tuhanku dalam semua kejadian. Dalam bunga daffodil, dalam besi geriji, dalam angin sesejuk salju, dalam manusia beranika rupa, dalam pub dan gelas arak, dalam gereja dan bangunan tua, dalam gerak dan diam, dalam bahasa dan bangsa...

Apakah yang asing itu Engkau, apakah memang Engkau, tiada lain melainkan Engkau...

Ya Tuhanku, bertambah kelirulah aku apabila kudapati yang asing itu sebenarnya adalah aku!

Khusuk dalam solat

Cepat benar engkau melupakan aku, wahai sahabat, walhal aku senantiasa menantikan pujian-pujian darimu. Apakah kata-kataku selama ini tiada nikmatnya. Atau engkau bersangka aku berjenaka seperti jenakanya teman-temanku itu?

Sahabat, demi kasihku padamu biarku peringatkan berkali-kali tentang Neraka Wail yang dahsyat itu - iaitu tempat mereka yang lalai dan tidak khusuk dalam solat mereka. Di mana bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu. Apakah tidak engkau perhatikan bukti-bukti nyata di sekelilingmu...

"Neraka Wail bagi mereka yang bersembahyang, yang mana ia lalai di dalam solatnya" Al-Maun: 4-5

Perhatikanlah mereka-mereka yang tidak khusuk dalam solatnya - kulit mereka terbakar hangus. Biarpun saling diganti baru tetapi tetap juga hangus dibakar Wail. Bahkan mereka keluar dan terjun kembali berulang-ulang, musibah dari kelalaian mereka... Oleh itu, khusuklah dalam solatmu agar kamu bertemu kekasihmu sepertimana para wali-wali itu lalui, insyaAllah...

Sahabat, fahamkah engkau apa yang kami cuba terangkan itu. Fahamkah engkau tentang solat, tentang khusuk, tentang neraka wail, tentang kulit yang terbakar, tentang bahan bakarnya...

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya adalah manusia dan batu..." At-Tahrim: 6

Jika sahabat sudah faham, bertambahlah kasih kami kepada tuan. Jika kami lalai dan tidak khusuk dalam solat kami, menjadi hak tuan pula peringatkan kami...

Anda memuji diri sendiri

Maafkan aku jika membuat sahabat jadi keliru sepertimana keliru-birunya aku. Sekali lagi, maafkan aku...

Pada diri anda ada benih-benih kemuliaan, jika anda tidak memijaknya tentu ia tumbuh merendang. Pada diri anda ada pohon-pohon keikhlasan, jika anda tidak mematahnya tentu ia menjadi tiang. Pada diri anda juga ada buah-buah kebenaran, jika tidak anda jerukkan mana mungkin jadi masam.

Dalam diri anda ada lampu bercahaya, tapi jangan dibiar apinya berjelaga. Dalam diri anda ada kelunakan suara - jangan dibisikkan ke telinga nan tuli. Jika anda tidak malu, peragakan diri di depan cermin. Jika anda tersenyum cermin juga turut senyum.

Jika anda harus memuji, anda juga yang harus mendengar. Jika anda terpegun, itu bermakna anda BERADA di tempat anda.

Ketika itu anda memuji diri sendiri, dan ketika itu anda juga TIDAK ada...

Jika ini sudah difaham, persoalan apakah harus dimusykilkan...

Langit tanpa sempadan

Malam itu Sang Raja datang dalam cahaya bulan diiringi para malaikat bersuara balam, menyapa diri dalam kepayahan: "Apakah ada di sebalik awan jika benar engkau faham." Lalu disambut bunyi bisikan - datang jauh dari dalam: "Di sana langit tanpa sempadan..."

Jestru, langit berlapis tujuh tempat terbaik bertemu Tuhan, adakah terbentang di sebalik awan. Tapi, jika langit tanpa sempadan di mana harus berjumpa Tuhan. Jika Tuhan tidak bertempat ke manakah Nabi di malam israk mikraj. Jika Tuhan dikata hebat mengapa malaikat jadi alat.

Datang pula suara di antara telinga dan pendengaran: "Apakah ertinya batas langit itu, jika tinggi kenapa bertempat dalam diri. Jika ia tanpa sempadan kenapa terpagar dalam badan?"

Tidakkah ini dikatakan keliru - jika Tuhan lebih dekat dari urat leher kenapa dicari siang dan malam. Jika wajahNya di setiap pandangan kenapa ramai masih penasaran...

Apabila ilmu sudah keliru kebenaran apakah dapat difaham. Apabila diri sudah tenggelam, kalimah manakah mahu dipegang. Begitulah apabila Sang Raja berlalu singgah, mata manakah yang mampu berkedip...

Kenapa tuan rahsiakan...

Abu Hurairah pernah berkata: "Aku menyimpan dua buah karung penuh berisi hadith-hadith nabi. Sebuah daripadanya telah aku siarkan, dan sebuah lagi kalau aku siarkan, pasti mereka memenggal kepalaku."

Jadi aku bertanya, di manakah tuan menyimpan karung yang sebuah lagi itu? InsyaAllah, kami akan bersabar dan bersumpah tidak akan memenggal kepala tuan...

"Karung itu disimpan oleh dua golongan. Satu daripadanya mengambil dan membukanya dalam diri, mereka ini adalah dari golongan fakir. Dan satu golongan lagi mengambil dan membukanya di tengah ramai, mereka ini adalah dari golongan zindiq."

Lalu kutanya lagi: Kenapa kepada kami tuan rahsiakan?

"Setengah daripada kamu lebih mudah di jalan tersurat dan setengahnya pula lebih cenderung di jalan tersirat. Di antara kamu lebih banyak mengikut nafsu, yang mudah kamu beratkan dan yang berat kamu permudahkan."

Wahai sahabatku, jadilah seperti Jalalludin Rumi yang tenggelam dalam puisi-puisi cintanya. Jangan pula seperti Al-Hallaj atau Fansuri, yang tersungkur lantaran cinta yang tidak terbendung. Adawiyah lebih bertuah kerana sahabat-sahabat amat terpegun dengan majlis cintanya...

Maafkan aku jika membuat sahabat jadi keliru sepertimana keliru-birunya aku kini...

Jika bukan aku, bukanlah aku

Jika aku sombong itu kerana aku tidak mampu untuk merendah-diri. Jika aku kasar itu kerana aku tidak mampu untuk berlaku lembut. Jika aku kikir itu kerana aku tidak mampu bersifat pemurah. Jika kau lihat itu adalah aku, itulah aku. Jika ia bukan aku, bukanlah aku.

Jika aku berlemah lembut itu kerana aku tidak mampu berlaku kasar. Jika aku ini bersifat maaruf itu kerana aku tidak mampu berbuat mungkar. Jika aku ini penyayang itu kerana aku dipakaikan sifat kasih sayang. Jangan engkau lihat itu aku atau bukan aku...

Aku tidak peduli apa yang engkau lihat. Aku tidak peduli apa yang engkau faham. Aku tidak peduli apa yang engkau kelirukan. Jika ada mata tetapi tidak melihat, ada akal tapi tidak memikir, ada hati tapi mati, apa lagi hendak dibicarakan...

Yang sombong itu sahabatku juga. Yang merendah-diri itupun sahabatku juga. Jika aku memiliki sedikit kesabaran, banyak benar dapat kumanfaatkan.

Yang tidak mampu itu, kita, yakni aku dan engkau. Oleh itu layaklah dia berbuat sesuka-hatinya...

Asyik pada kesempurnaan

Tidak ada kekasih yang merdeka, wahai saudaraku. Seorang kekasih mengikat kekasihnya dengan tali cemburu, berkata dalam bahasa rindu, lupa ayah lupa ibu, hanya ingat padaku. Itulah kecintaan...

Tidak ada kekasih yang merdeka, wahai saudaraku. Dia sudah dimiliki. Keasyikan cinta membuat alam jadi kepunyaannya. Dulu riang kini pemalu, dulu membuka dada kini menyimpan rahsia, dulu siuman kini murung dan gila. Itulah erti kecintaan yang sejati.

'Yang merdeka' itu bukan seorang kekasih kerana mereka belum pernah karam. Tidak mungkin engkau kekasih jika tidak khayal dan mabuk. Kau asyik pada kecantikan, kau lupa pada kesempurnaan. Kau asyik pada kelebihan, kau lupa pada keutamaan. Itu bukanlah tanda tunduknya seorang kekasih yang kami ceritakan.

Tidak ada kekasih yang merdeka, wahai saudaraku...

Pujilah aku...

Sahabat memuji-muji diriku adalah sebaik-baik sahabat. Biarpun sahabat itu dari lembah atau dari gunung, biarpun mereka sadar atau tidak, asalkan ikhlas merekalah semulia-mulia sahabat.

Sabahat yang senantiasa mencaci-caci diriku adalah seburuk-buruk sahabat. Biarpun mereka dari majlis yang bagus atau dari turunan tinggi, samada dibuat dalam senyuman atau dalam bisikan, mereka adalah sehina-hina sahabat.

Aku tidak hidup kerana pujianmu dan aku juga tidak mati kerana kejianmu. Tetapi kamulah yang terhibur dek pujian itu dan kamu jugalah terseksa kerana kejian itu.

Itulah kukatakan tadi, pujilah aku setinggi langit. Jika engkau terus memujiku engkau akan mengerti di manakah letaknya pujian itu. Ketika itu engkau kehairanan bahawa dirimu itulah taman - di mana harumnya semerbak hingga keluar menjadi rembulan...

Sahabat yang menghina aku sebenarnya menghina diri sendiri. Tembelangnya pecah di perut lalu membuak keluar mulut. Sahabat seperti ini sukanya mencaci kerana limbahannya tidak terbendung lagi...

Jadi kukatakan, yang busuk bukan aku. Yang terseksa bukan aku. Yang menyimpan najis juga bukan aku tetapi engkau. Begitu juga, yang harum itu bukan aku, yang bahagia itu bukan aku tetapi engkau, wahai sahabatku yang mulia...

Demi itu, pujilah aku, jangan engkau jemu-jemu...

Ketika dekat dilupakan

Seorang sahabat datang menghampiriku mulanya terasa malu-malu. Semakin dekat dia kepadaku dia seakan kaku. Ketika kusahut salamnya, dia dipagut sayu. Ketika kukenalkan diriku dia diam keliru. Setelah dia kutinggalkan dia jatuh merindu...

Itulah kekeliruan seorang sahabat pada sahabat. Ketika aku panggil namanya dia tidak mendengar. Jika kupanggil namaku dia kehairanan. Ketika aku jauh dinantikan, ketika aku dekat dilupakan. Kau akan keliru 7,000 tahun lagi...

Bertemulah aku di jalan ikhlas kerana di sanalah aku menanti para fakir sepertimu. Jika engkau rebah akan kuangkat, jika lupa akan kuingatkan selagi engkau ikhlas pada dirimu biarpun engkau tidak menyedarinya.

Jika engkau kenal keberadaanku, itu syurga
Jika engkau bersabar dengan wajahku, itu syurga
Jika engkau redha dengan tanganku, itu syurga
Akan kutuliskan namamu di dada langit...!
Pasti!

Sejuk seluruh alam

Sayangnya,
Engkau tidak belajar merayakan kekalahan
Engkau tidak belajar memuliakan kejahilan
Engkau tidak belajar mensyukuri kemiskinan
Kerana itu engkau keluh-resah
Kerana itu engkau tersungkur dalam perjalanan

Fahamkanlah kata-kata ini
Siapakah yang lebih bijak daripada kebijaksanaanku
Siapa pula yang lebih bodoh daripada kebodohanku

Apabila engkau sabar padaku; itulah aku
Apabila engkau marah padaku; itupun aku
Atau
Apabila engkau memuji diriku; itulah engkau
Apabila engkau mencaci diriku; itupun engkau

Ingatlah, apabila engkau sudah mengenal aku
Segala penderitaanmu akan hilang
Terbuka pintu-pintu syurga
Sejuklah seluruh alam...

Wahai, seandainya engkau faham...

Jangan engkau terkeliru

Wahai sahabat, jangan sekali-kali engkau terkeliru
Begini,
Jika menyangka aku ini rendah, siapakah lebih tinggi daripadaku
Jika menyangka aku ini tinggi, siapakah lebih rendah daripadaku
Jika engkau mengetahui ini pasti engkau memeluk aku seerat-eratnya -
pasti tidak mahu melepaskannya lagi...

Begitu jugalah,
Jika engkau melihat aku ini lemah, siapakah lebih hebat daripadaku
Jika engkau melihat aku ini hebat, siapakah lebih lemah daripadaku
Oleh itu jangan meninggikan aku dan merendahkan dirimu
Atau
Jangan merendahkan aku dan meninggikan dirimu
Jika ini engkau fahami, langit dan bumi menjadi milikmu, insyaAllah.

Yang berpaling bukan aku

Semalam engkau memujiku, kini kau mencaciku
Berbezakah aku di antara semalam dan hari ini?
Ataupun mahu mengatakan kekeliruanmu
Padaku yang tidak jemu kerenahmu

Aku tetap aku biarpun bagaimana keluh-resahmu
Yang memutuskan tali bukan aku
Yang berpalingpun bukan aku
Jika engkau tahu pasti engkau tidak seperti ini
Memanggil-manggil namaku tanpa sadar
Bahawa engkau itu adalah aku jua...

Aku tidak keliru kerana yang terkeliru adalah nafsu
Biarpun kau sangka aku tiada atau di mana-mana
Aku tetap aku - bila engkau ingat di situlah aku...

Jika engkau tidak keliru, pujilah aku
Apabila keliru, kejilah aku
Ingatlah, kita pasti akan bertemu...

Dalam jubah yang terikat

Jangan terkeliru pada pakaianku - jika aku tidak 'memakai',
engkau tidak bisa mengenal diriku.

Pakaianku di luarnya berwarna-warna, di dalamnya berlapis-lapis
Jika engkau menutup matamu, engkau tidak akan keliru
Jika engkau membuka hatimu, engkau pasti melihat
Ada sahabat yang begitu dekat
Dalam jubah yang terikat...

Jika engkau melihatku, apakah yang dapat engkau lihat
Jika engkau mendengarku, apakah yang engkau dengar
Anehnya sahabatmu ini...

Melekat di hujung lidah

Kadang-kadang aku jadi ragu pada keikhlasan datang dari langit. Keikhlasan seumpama keramat dari ucap-suara berpanggu-panggu. Aku telah meletakkan tuan pada tempat tuan malah tetap tinggi dan tidak turun sedikitpun. Namun tuan masih juga merasa bosan...

Keluarlah barang sebentar dari mahligai diri dan renungkan keaiban diriku yang kara ini. Beban kupikul semakin berat, titian kutempuh semakin rapuh dan langkah kakiku semakin goyah. Pun begitu aku tidak murung dalam bersahabat - kerana aku ini masih mampu tersenyum...

Jika tuan tidak suka pakaianku yang buruk jahitannya, ketahuilah, cuma ini milikku. Tidakpun diambil dari mana melainkan hadiah Tuan Besar yang senantiasa tuan agungkan itu. Jika aku bersabar dengannya dan tuan pula tidak mahu, mengapa tuan pula menanggung malu...

Kita harus ikhlas dalam melihat kerana cahayanya gemilang berpagarkan bintang-bintang. Yang akan meninggikan tuan adalah aku kerana tuan tidak bisa jadi tinggi tanpa aku. Jika tuan faham kata-kata ini maka tuan telah menghampiri rupa seorang sahabat, insyaAllah...

Ikhlas itu hidup pada yang hidup. Jika kita berjanji demi hidup, selamilah lautan rasa sehingga bertemu sungai masin. Bukan pada garam dan bukan pula pada airnya tetapi pada diri tuan yang terperi. Sehingga kelazatannya melekat-lekat di hujung lidahku...

Jika aku masih mempunyai sahabat pasti akulah yang akan meninggikannya, insyaAllah...

Pemikir

Wahai pemikir
Apakah yang ingin engkau sembunyikan
Apakah yang engkau tunduk-malukan
Sehingga tidak memperdulikan
Pada sebuah persoalan
Yang aku diajukan

Wahai pemikir
Di manakah engkau duduk bertafakur
Dalam dirimukah atau dikhafi
Sehingga tidak terdengar
Pada setiap jawapan
Yang aku berikan

Wahai pemikir
Apakah yang engkau fikirkan
Tentang Tuhankah
Tentang kejadiankah
Atau berhayalan...

Buat sahabat-sahabatku jika masih ada...

Perlahankan suaramu wahai yang mengasihi. Biar terdengar kalimah nan agung. Dari serambi-serambi hati. Akan terubatlah derita kami. Yang payah. Menanti subuh yang sejuk cahayanya. Meniti rembang yang panas bahangnya. Mengiring senja hingga ke malam.

Perlahankan suaramu wahai yang mengasihi. Biar kami nikmati satu persatu kelipan pelita hatimu.

Jika masih marah, kami jadi tergamam. Jika resah, kami tak dapat belajar apa-apa. Rugilah taman kalau tidak dapat disantai. Rugilah dahan jika serindit takut menyinggah. Rugilah air kalau tidak suci menyucikan.

Wahai yang mengasihi, tunjukkanlah keramahanmu. Pada kami yang masih memegang tali ini - yang dulu kita pegang bersama.

Langit tidak kelihatan

Tersingkaplah cahaya kini - antara cahaya dan cahaya
Dari yang bergemerlapan dan gelap malam
Dari jiwa seni dan jiwa terajang
Antara ilmu dan faham
Antara wajah menawan dan yang perlukan solekan
Antara duka dan riang
Di manakah sebenarnya persoalan?

Apabila sedikit hakikat terurai ceramuklah tiang mahligai
Apabila sedikit rasa tersentuh gelisahlah pelusuk akal
Jika jauh disangka dekat dan dekat disangka jauh
Bicara apakah lagi dapat diucapkan?

Langit malam biarpun luas masih perlukan cahaya bulan
Langit malam biarpun luas perlukan taburan bintang-bintang
Tanpanya malam jadi kelam dan langit tidak kelihatan

Ilmu itu kukuh kerana dalilnya
Faham itu lahir kerana rasanya
Yang memegang Quran peganglah Quran
Yang memegang Furqan peganglah Furqan
Bukankah itu lebih aman.

Buah-buah rahsia

Hari ini aku bukan lagi seperti semalam apabila 'telinga'ku mula mendengar dan 'mata'ku dapat melihat. Aku umpama seekor burung melebar sayap di angkasa. Semakin tinggi ditolak angin semakin jelas 'kampung' halamanku.

Wahai Al-Jabbar, aku tersinggung oleh latifMu sehingga larut dalam mimpi di antara tidur dan jaga. Aku bukan lagi seperti semalam, yang punya kata-kata untuk diucapkan.

Kau ikat 'faham'ku pada 'tahu'ku sehingga terpenjara di jeriji ilmu. Apa lagi yang bisa dituturkan selain duduk memegang dada. Aku sudah tidak lagi merdeka malah begitu sengsara. Tersingkaplah wahai buah-buah rahsia, aku kini lapar lagi dahaga...

Engkau adalah aku

Aku tidak tahu kenapa aku jadi marah. Bukan kerana cemburu bukan kerana gundah. Aku melihat engkau adalah aku. Tetapi kenapa tidak merana seperti aku.

Jangan kau fikir aku tidak mendengar. Jangan engkau fikir aku tidak melihat. Aku lebih hampir dari suara hatimu walaupun engkau tidak mengenaliku.

Aku tidak tahu kenapa aku jadi marah. Apabila ilmumu merungsingkan aku. Lihatlah, betapa pilunya diriku. Memukul engkau seperti memukul diri sendiri.

Aku marah kerana aku terasa sakitnya. Aku marah kerana menanggung dosanya. Apakah kau kira mudah menjadi kekasih. Atau sememangnya engkau tidak tahu.

Payahnya mengenal sahabat

Payahnya mengenal sahabat
Masing-masing mahu berhibur dan terhibur
Sahabat yang bijak akan rosak inteleknya jika ditegur
Sahabat yang dungu akan rosak perasaannya jika disinggung

Jika diam dikatanya tidak tahu
Jika banyak cakap dikatanya tunjuk pandai
Apabila dipuji dia merasa senang hati
Apabila diuji dia cepat remuk hati
Bukan senang jadi kawan
Bila seirama itulah tolan
Bila tak sekata jadi lawan

Dengan siapa kita berkawan
Itu... Orang hebat setinggi awan
Ilmunya tinggi jiwanya tenteram
Tapi sayang, belumpun sempat menghulur salam
Ia merajuk sakit meragan

Payahnya mengenal sahabat
Suaranya indah ilmunya lebat
Sedikit terantuk lalu merajuk
Marilah sama kita memujuk

Itulah tanda kasih sayang
Dalam keikhlasan tak serupa keikhlasan...

Aku orang malang

Ketika menghampir sebuah daerah, aku terdengar suara zikir dalam uzlah. Di mana wajah-wajah berseri laksana purnama pancar-memancar. Aku tersipu malu - seorang asing berwajah cacat berhajat duduk di atas mimbar. Lalu aku ditanya: Bagaimana rupa seorang guru, apakah sudah bertemu?

Ketika menghampir sebuah daerah, aku terdengar majlis ilmu dalam ilmu. Di mana tersingkapnya rahsia bagaikan pecahnya keajaiban laut. Di mana bumi hanyut dan langit pula bertaut. Aku tersipu malu bila ilmuku bagaikan melukut di kaki timbang. Lalu aku ditanya: Apakah ilmu yang berguna, di manakah kitab yang sempurna?

Di daerah itu aku begitu terasing bagaikan asingnya terang dan gelap. Aku mendengar kata-kata yang tidak kufaham. Aku melihat laku-lakuan berpantang larang. Semakin lama semakin bimbang kerana aku orang malang. Lalu aku ditanya lagi: Jambatan apakah jadi titian, alam manakah jadi tujuan?

Apakah ilmuku bukan ilmu Tuhan? Apakah kalamku bukan kalam Tuhan? Apakah wajahku bukan wajah Tuhan? Oh, apakah aku yang terkeliru atau aku yang mengelirukan! Jadi apakah maknanya bathil kalau ianya adum. Apakah ertinya kufur kalau itu hanya hayalan. Betapakah peliknya pengetahuan - semakin tinggi semakin menafikan.

Wahai yang mendengar janganlah cepat menghukum. Aku sudah terlanjur dengan waham dan tidak faham. Dengan kebodohan amat sangat bersama kekeliruan yang tak pernah padam.

Sebaik-baik kejadian

Padaku terkumpul segala - dari laku iblis dan rupa syaitan, dari sejuknya malaikat dan lembutnya insan. Apakah itu kalau bukan aku - bukankah telah kunafikan semua kekosongan.

Akulah iblis dan akulah syaitan
Akulah malaikat dan akulah insan
Di situ sifat di situ perbuatan
Tempat melahirkan setiap pengetahuan
Dalam suara dan dalam diam
Akulah sebaik-baik kejadian.

Kalau aku ini syaitan, syaitanlah aku. Kalau aku ini malaikat, malaikatlah aku. Kenapa harus beratkan perjalanan dengan selain Tuhan. Bukankah sudah bersaksi dalam penyaksian. Kitalah pengenalan dalam pengenalan.

Akulah tempat segala pujian - hakikat cahaya bagi roh.
Akulah tempat segala kejian - hakikat qalam bagi aqal.

Dari pohon yang serupa

Ketika tuan menilik diri dalam bayangan Tuhan - dari amal mukmin dan ilmu ladunni. Aku tetap meniti di sini, di antara titian iblis dan syaitan. Antara sesat dan kejahilan, antara Wail dan Jahannam.

Ketika tuan memiliki cermin dari lapisan syurga - maka tertangkaplah makrifah terangkatlah hidayah, terbanglah rohani fanalah bumi. Begitupun aku tetap di sini, menekap cermin retak seribu. Bayangan diri pecah-recah. Aku keliru antara percaya dan ragu, antara ragu dan dungu.

Aku seorang kafir terpegun pada suara dan nyanyian taqwa. Betapa remuknya diri ketika tuan mengatakan rindu pada Tuhan. Dalam bisikan di penghujung malam bersama doa penuh keikhlasan.

Mana mungkin seorang kafir akan remuk redam. Mana mungkin rantakan syaitan rindukan keikhlasan. Mana mungkin si munafik menilik diri dalam cermin Tuhan. Itulah aku - penghayal keajaiban dalam kemungkaran.

Tuan, aku juga seperti tuan dari pohon yang serupa. Sayangnya tuan dari dahan yang manis dan aku dari dahan yang masam. Pun aku juga tetap seperti tuan, sebiji mangga - cuma masam!

Telah kukatakan entah beberapa kali, bahawa aku tidak pernah cemburu lantaran tuan dari dahan yang manis. Biarpun masam jarang dijamah, tapi ambillah ia buat mencuci hanyir ikan. Itu lebih manfaat dari terus dibuang.

Aku ingin bertanya tuan - adakah Tuhan tidak adil di sebalik Maha AdilNya. Kalau adil kenapa berbeza di antara terang dan gelap, antara syurga dan neraka? Wahai... Mudah-mudahan aku tidak keliru - Tuhan itu adil pada tuan bahkan Dia juga adil pada diriku.

Ketika tuan meniliki diri dalam bayangan Tuhan, aku masih begini - berhayal dalam kesesatan. Aku hanya bisa mimpikan kebenaran walhal tuan bisa terbang bersamanya. Ketika semuanya sudah di langit, biarlah aku terpinggir di bumi. Kerana di sinilah bermulanya aku, dariNya kepadaNya.

Mencemuh tuan dalam diam

Ingatlah tuan,
Kata-kataku janganlah ditelan begitu sahaja. Aku orang ujub tidak pernah berasa malu. Jika aku di hadapan akan kusalahkan orang belakang. Dan jika aku di belakang akan kusalahkan orang hadapan. Itulah buruk laku diriku yang senantiasa kututup dengan kemanisan lisan.

Berhati-hatilah tuan,
Seandainya aku memuji tuan, itu bukannya ikhlas. Seandainya aku membantah tuan, itu tanda aku cemburu. Dan seandainya aku bersetuju dengan tuan, itu tanda aku sembunyikan bodohku.

Memang benar,
Aku sering mencemuh tuan di dalam diam. Aku irihati jika tuan lebih petah dan lebih tajam. Aku cemburu pada tuan yang bertafakur di masjid sedangkan aku meracau di jalanan.

Ingatlah tuan, kata-kataku janganlah ditelan begitu sahaja. Aku orang malang. Aku derita sakit bolakan hati berpanjangan. Alangkah malunya bercakap tentang rohani. Alangkah malunya bercakap tentang ladunni. Oh tuan, aku hanya berhayal...!

Tuan, kadang-kadang aku terdengar suara seperti ini...
Apakah begitu susah mengatakan kau diomok iblis
Apakah begitu susah mengatakan kau dirasuk riak dan ujub
Apakah begitu susah mengatakan kau bodoh lagi sombong

Kenapa takut mengaku sakit walhal benar rohani tenat
Kenapa takut mengaku kurang walhal benar ilmu sedikit
Kenapa takutkan neraka walhal kita meniup obor apinya

Apakah hebatnya mengaku orang arifbillah
Apakah hebatnya mengaku orang hidayah

Oh tuan, tidakkah engkau merasa kasihan kepadaku...

Dedaun tak bisa gugur

Aku terpaksa menyenguk keluar dari kepompong sombong kerana indahnya luahan-luahan puitis tuan. Betapa sengsaranya suara-suara sang pencinta dihambat rindu sepanjang masa.

Berceritalah dengan kepayahan kerana cinta ini amat payah dan parah. Akupun jadi cemburu padamu bila rajuk dan rayumu semakin lantang.

Benar, aku jadi tamak pada bisikan dan bayangan syurga. Bila nama-namaNya sudah tuan kenali, aku jadi kian cemburu dan remuk dalam dada. Mana bisa ini semua! Mana bisa ini semua!

Wahai yang mendirikan solat dan yang tidak mendirikan. Besok bagaimanakah pula sengsaramu? Apakah gerangan rayu dan rintihmu sebelum aku...

Ahh... suaraku kian parau - siapakah pula akan mendengar. Walhal suara tuan-tuan begitu lunak hinggakan dedaun tak bisa gugur.

Pastinya aku akan cemburu!

Wahai yang bijak pandai...

Pisahkan diri kamu barang sebentar dari pelukan kitab
Pisahkan diri kamu barang sebentar dari selimut guru
Pisahkan diri kamu barang sebentar dari maqam-maqam
Jadilah seorang munafik seperti aku
Baru engkau tahu betapa peritnya menjadi manusia
Yang tidak berharga

Jika kamu mampu terbang, aku tidak hairan
Jika kamu mampu berjalan di atas air, aku juga tidak hairan
Rahib-rahib di biara lebih baik tunduknya
Petapa-petapa Hindu di lereng Himalaya lebih hebat rohaninya
Pengamal mistik di belantara lebih unik rahsianya

Seorang munafik tidak melihat apa ada pada kamu
Nyanyikan apa saja lagu yang disangka merdu
Aku tidak mendengar kerana kepekaanku jemu
Dan lihatlah kehebatan dirimu bercerminkan aku
Yang telah hangus dibakar kemunafikan ilmu

Aku kehilangan alat untuk mengukur keistimewaanmu
Kerana mayam munafik tidak ditimbang seperti mayam emas
Sebakul dariku terlalu murah buat kamu
Begitulah terpisahnya kita...

Fahamkanlah...
Pengenalan munafik tidak seperti pengenalan seorang arif
Makan seorang munafik tidak selazat makanan seorang arif
Jadi kenapa masih menaruh cemburu kepadaku
Mengapa masih mahu permainkan kedhaifanku

Seorang munafik memilih jalan bahaya
Dan kamu pula memilih jalan yang selamat
Selangkah ke hadapan sudah tersedia pelbagai habuan
Dari sungai susu dan madu serta isteri-isteri yang rupawan

Pisahkan diri kamu barang sebentar dari pelukan kitab
Pisahkan diri kamu barang sebentar dari selimut guru
Kenalilah seorang munafik seperti aku
Selamilah hati-butaku
Dengarlah nafas payahku
InsyaAllah kamu tidak akan cemburu lagi...

Sesudah itu peluklah kitab-kitabmu
Masuklah kembali dalam selimut gurumu
Kemudian bernyanyilah
Sememangnya suara kamu amat merdu...

Sebuah perkampungan

Kami melewati sebuah perkampungan dan diberitahu ianya didiami oleh 'para sufi.' Lalu kami masuk walaupun tidak dijemput. Kami mendengar bicara-bicara tentang kebesaran Tuhan, tentang rahsia alam, tentang hakikat luarbiasa. Ada yang kami faham dan banyak pula kami tidak mengerti.

Persinggahan ini kami lanjutkan barang sewaktu dua lantaran kami suka bicara begini. Rupa-rupanya ramai lagi datang dan singgah. Ada yang nampak gembira dan ada yang nampak malang. Masing-masing membawa risalah besar tertanggung di atas bahu. Ketika itu kami jadi khuatir kerana datang berlenggang tangan...

Di sana terlalu ramai ingin bercakap walaupun yang mahu mendengarnya tiada. Seperti menggesek biola tanpa tali dan yang terdengar bunyi kayunya sahaja. Kami seakan hairan - kenapa jadi begini?

Barangkali kerana terlalu ramai ingin berbicara akhirnya yang kedengaran hanyalah riuh-rendah. Suara-suara yang merdu tenggelam, suara-suara berharga hilang, suara-suara ehsan tertelan.

Kami tidak berbohong - di sini kami bertemu suara-suara air yang menyejukkan bagi musafir kehausan seperti kami. Dan ketika kami ingin mendekat, suara-suara itu hilang seakan merajuk. Apabila kami cari mereka sudah berada di pesisiran dengan maksud belayar jauh.

Kami masih menunggu bicara ajaib dari penduduk-penduduk di sini dan akhirnya kami terdengar: "Barangsiapa mengenal dirinya (nafs) maka akan kenal Tuhannya."

Aduhai, kami tersentak dan terharu - kerana kami sudah TIDAK mengenal diri kami sendiri. Apakah mungkin kami mengenal Tuhan kami...?

Salam kami buat penduduk-penduduk perkampungan murni ini. Mudah-mudahan Allah memberi berkah dan rahmatNya yang berkekalan. Mudah-mudahan dimerdukan suara-suara kita. Mudah-mudahan diangkatNya kita ke langit. Allahuakbar!

Duduknya seorang hamba

Mana mungkin kita merdeka jika sudah diikat dengan taliNya. Mana mungkin kita merdeka jika sudah tersungkur dalam cengkamanNya. Mana mungkin kita merdeka jika tetap mengharapkan kasih sayang dariNya. Mana pernah terjadi si hamba itu merdeka. Yang merdeka hanyalah mereka-mereka yang tidak ber'tuan.'

Alangkah ganjilnya pemikiran hambaMu, wahai Tuan Yang Maha Besar... Tidakkah mereka tahu mereka itu lemah, bodoh dan tuli. Mengapakah tidak pernah terfikir mereka di'punya.' Mengapa menyangka sudah merdeka.

Begitu panjang kami menulis tetapi masih belum faham. Kami sebutkan sekali lagi dengan terang: "Kita kepunyaan Tuhan. Kita hamba. Tahukah di mana duduknya seorang hamba (jika benar kamu bukan seorang yang sombong)..."

Si hamba mengaku merdeka, barangkali sudah kehilangan 'Tuan'nya. Atau barangkali sudah menunjuk angkuh pada Tuan Al-Latiff... Apa lagi yang dapat kami tulis jika masih tidak mahu berfikir!

Jika kami mahu terhibur

Dari sahabat kepada sahabat (...atau dari abang kepada adik)

Kata orang nafsu boleh dibunuh dengan cercaan. Kata orang nafsu boleh dibunuh dengan makian. Tetapi bagaimana ianya akan terbunuh kerana kita belum lagi mati. Hanya kerana nafsu kita bekerja, kerana nafsu kita berdaya. Betapa hebatnya anugerah ini...

Bagaimana mungkin kami tidak terhibur kerana nafsu. Bagaimana mungkin kami tidak tersinggung kerana nafsu. Jika kami laripun, kami lari kerana nafsu. Dan jika kami datangpun, kami datang kerana nafsu. Oh betapa berkelananya kami ini kerananya...

Kami tak mampu untuk mencaci kerana kami tidak diajar begitu. Jika kami mencacipun itu kerana kami sangka ianya benar. Tetapi sesudah kami tahu bahawa itu tidak benar maka kami akan memuji. Itulah kami.

Kami mendengar Dia berkata: "Apabila Aku ingin memuji, kamu tidak bisa menolak. Dan apabila Aku ingin mencaci, kamu tidak bisa menentang."

Lalu kami seakan faham... Jika kami mahu terhibur maka terhiburlah kami. Jika kami mahu tersinggung maka tersinggunglah kami.

Kami belum mati lagi tuan... Jestru itu kami masih berada di sini.

Kami hanya berjalan kaki

Kata seorang sahabatku:
Kami tidak menyakinkan sesiapapun. Jika ternampak maksud yakin, itu tidak lain melainkan untuk menyakini diri sendiri. Kami juga tidak mengelirukan sesiapapun melainkan diri kami sendiri. Andai semua berpakaian putih janganlah cemburu jika kami memakai hitam. Jika semua datang berlari janganlah cemburu pada kami berjalan kaki.

Katanya lagi...
Kami tidak bisa menyandar pada yang baharu. Sekiranya kami degil maka pukullah kami tetapi jangan dipaksa.

Apa yang kami nampak tuan-tuan tidak nampak. Apa yang tuan-tuan nampak kami tidak nampak. Jadi kami bertanya: Di mana lagi yang tidak adilnya dalam perjalanan ini.

Kami orang mudah. Jika tuan dari majlis baik maka tuan seorang baik. Kami tidak membantah. Jika tuan di bahagian tinggi maka tuan tinggi. Pun kami tidak membantah.

Sahabatku mengakhiri kata:
Kami tidak akan membantah-bantah, insyaAllah...

Marah kalau dikeji

Buat kekasih-kekasih yang merdeka....

Seorang kekasih mengusung ilmu memukul dada dalam prasangkanya - bilamana ibadahnya sudah terlaksana, maqam sudah dicapai, rahsia sudah terbuka. Apa lagi - kami sudah makrifah, kami dari kalangan ariffin, kami bersandar padaNya, kami memegang taliNya. Itulah kami.

Bila ditanya tentang kasihnya pada Allah, akan dicari bahasa indah untuk membuktikan rasa rindu. Terciptalah lagu-lagu cinta dalam bait-bait syair setanding Jalaluddin al-Rumi. Itulah kami.

Apabila ditanya tentang makrifahnya - akan dijawab: Satu dalam banyak dan banyak dalam Satu. Aku mengenal Allah dengan Allah. Dia yang zahir Dia jugalah yang bathin. Tidak menyerupai sesuatu. Tidak diperanakkan. Dia Esa. Apalagi yang tuan mahu tahu...!

Apabila ditanya tentang hakikat - akan dikupasnya hakikat noktah, hakikat alif, hakikat fatihah, hakikat solat panjang lebar. Apakah guru tuan tidak mengajar tuan? Kalau begitu tarekat tuan tidak sehebat tarekat saya. Apakah tuan tidak membaca kitab Ibnu Arabi atau Al Jilani?

Jika ditanya tentang maqamnya - dia tunduk lembut merendah diri. Dengan berbisik: Saya ada wirid-wirid mujarab, solat tengah malam, zikir saya hidup, cahaya sudah terang. Saya melalui pengalaman luarbiasa. Ini semua kerana amal dan hati suci bersih. Alhamdulillah....

Seorang kekasih yang merdeka, ceritanya panjang. Apabila diceritakan tentang takut, dia takutkan iblis yang membisik. Kalau diceritakan tentang haq, dia bencikan bathil yang disifatkan. Jika diceritakan tentang cahaya dia menyangka seperti cahaya lampu atau bulan. Aduhai...

Seorang kekasih yang merdeka, kadang-kadang menghairankan - tidak mahu dipuji tetapi marah kalau dikeji.

Buah suma'

Buat kekasih-kekasih yang merdeka

Seorang kekasih mula marah
Angkara 'intellectuality' yang sudah terhiris
Mengerang ia menahan sakit
Biarpun lukanya tidak begitu dalam

Wahai kekasih, usahlah menangis hiba
Jika 'intellect'mu tiba-tiba tergoncang
Kerana yang jatuh hanyalah buah suma'
Yang kita semua bencikan

Wahai kekasih yang mula merajuk
Marilah masuk dalam buaian
Ibunda dendangkan puji pujian
Biar hati tidak walang

Mari nyanyikan lagu puji-pujian
Buat kekasih yang tersayang

Bila kita terlalu bijak

Wahai kekasih-kekasih yang merdeka

Kasihan...
Kamu menagih pujian pada ilmu yang dikutip dari orang
Kamu mengaku hebat pada ilmu yang kau curi dari kitab
Kamu begitu asyik pada ilmu yang nyata banyak silap

Kenapa taksub pada amalan
Kenapa taksub pada bilangan
Kenapa taksub pada keturunan

Apa guna berpakaian indah jika disulam benang ujub.
Apakah hebatnya bergelaskan perak jika airnya dari telaga riak.

Carilah pepohon untuk berteduh
Jauhi arak yang memabukkan
Ambillah cermin sapalah diri
Jangan sampai ada tersenyum
Bila kita terlalu bijak...

Wahai kekasih-kekasih yang merdeka
Ini adalah wajah-wajah kita.

Aku bersaksi...

Wahai kekasih-kekasih yang merdeka

Kita bukan kafir tetapi seorang kekasih.
Kita bukan angkuh tetapi seorang kekasih.
Kita juga bukan jelik tetapi seorang kekasih.

Sebagaimana halnya seorang kekasih
kita jadi perayu
kita jadi perajuk
kita jadi perindu.

Kekasih yang remuk hatinya merintih-rintih:
'Wahai Yang Benar, Wahai Yang Benar...
Aku bersaksi, aku bersaksi...

Maka saksikanlah...

Kekasih yang merdeka

Kekasih yang merdeka:
Dengar kata engkau telah khatam Quran tiga kali. Maka aku ingin bertanya, apakah engkau faham tentang bacaanmu. Adakah kerana bagus tajwidnya atau merdu lagunya.

Kekasih yang merdeka:
Dengar kata engkau telah khatam Quran tiga kali. Apakah yang engkau tahu tentang peringatan-peringatan di dalamnya. Adakah diceritakan tentang lunak lagumu atau baik tajwidmu.

Kekasih yang merdeka:
Apakah yang telah engkau baca. Bukan sekali tetapi tiga kali khatam. Di mana rasa takutmu. Pada salah tajwidnyakah atau pada pengkhabarannyakah?

Engkau disuruh baca tetapi tidak membaca tetapi sudah tiga kali khatam. Engkau disuruh baca dengan nama Tuhan menciptakan. Tetapi engkau membaca atas nama tajwid dan lagu-lagunya.

Kau sememangnya seorang merdeka!

Ombak setinggi awan

Jika ada keberanian, melangkahlah ke hadapan. Isikan karung ilmumu dengan kearifan. Carilah kitab hidup yang terhimpun ribuan keajaiban. Bacalah sehingga engkau jadi terang. Carilah guru agung dalam diri yang tak terpisah selama-lamanya.

InsyaAllah, kau akan bisa miraj kepada Tuhanmu sepertimana Junjungan Besar. Kau akan bisa terbang ke kampung lahut sebagaimana datangmu. Di mana malaikat tak bisa, engkau bisa. Kerana cahayanya tidak seperti cahayamu. Terbakar hangus dalam cahaya Tuhannya.

Carilah syurga di sini kerana kita boleh tenang dan senang. Syurga di sana sudah pasti bagi setiap makhluk, baik yang kita keji mahupun yang kita puji.

Kalau sudah mengerti, mengapa cemas kerana iblis. Kenapa takut kepada mati.

Kematian adalah matlamat bagi yang arif. Tiap-tiap yang mengantuk berhajatkan tidur. Tidur yang lena. Bila bangun bakal bahagia.... Itulah saat-saatnya!

Kita bakal penghuni syurga. Kita ini wali-waliNya. Kita orang-orang redha dan Dia redha pada hambaNya yang redha.

Kalau sudah kenal maka kenalilah wajahNya, kenalilah suaraNya, carilah rumahNya. Jika belum ketemu jangan sombong mengaku kenal.

Jika dicari tetapi tidak jumpa, itu bermakna Dia tidak ada. Mustahil tidak ada. Bukankah Dia lebih dekat dari urat lehermu sendiri!

Bila mencari barang yang tidak hilang badan jadi letih, otak jadi rawan. Seperti mencari air di tengah lautan. Ombak setinggi awan, airnya tidak ketahuan.

Siapakah yang berani...

Siapakah berani berkata mencuri itu sempurna lakuannya. Siapakah sanggup mengakui zina itu sempurna lakuannya. Siapakah begitu gila bersangka dengki khianat itu sempurna sifatnya. Jangan dicuba samasekali. Ini kerja gila!

Jika kamu telah menyaksikan dan naik saksi maka tutuplah mulut kamu rapat-rapat. Redupkanlah mata sehingga hilang silaunya. Tahan nafasmu sehingga jiwa meronta kalah. Kita penghayat yang terpinggir. Kita penghayat yang merempuh arus. Ke mana arah kita kalau bukan di sini. Maka kembalilah kepada keakuan kerana itu lebih selamat.

Duduk saksi adalah seorang menyaksikan perlakuan dan bukan si-pelaku itu sendiri. Isbatkan dan kenali Yang Agung dan tunduklah layak budiman dengan rendah diri yang amat. Ingatlah keakuan itu lautan rahmat. Begitulah hebatnya anugerah dari Kekasih untuk kekasih.

Jika kamu dijalan mudah mengapa dihampiri jalan keliru. Jalan ini tidak bersimpang, pendakiannya amat berat dan kamu tidak bisa berpatah balik. Kembalilah ke jalan selesa, di sana ramai teman dan tidak ada rahsia-berahsia.

Dalam keakuan kita bertemu iblis. Dengan keakuan kita bertemu malaikat. Biarpun terlindung di mata namun terbuka oleh rasa. Berhati-hatilah agar selalu di dalam sempadan. Kerana di seberang sana menanti ribuan ranjau menjilat-jilat keimananmu.

Di jalan ini kita terpukau dan dipukau. Titian teramat halus tak bisa dijambat. Di hujungnya berdiri pintu-pintu kematian. Di sini terhimpunnya pokok-pokok kekeliruan. Dakaplah kitab, tanpanya kita tidak punya pegangan. Bila terdampar di pesisiran lahut, hayatilah lautnya begitu hening di setiap penjuru. Belumpun tercecah di air, kita karam lalu lemas. Begitu sulit dan berat jalan ini!

Dia kekasih bagi setiap kejadian, janganlah bersedih menyangka diabaikan. Wahai, hanya kekasih mengenal Kekasih. Di sana terhimpunnya rindu, dalam suara tak kedengaran dan bisik yang melenakan.

Menjauhlah kamu dari sini. Ceruk ini dihuni orang-orang gila tidak berbangsa. Kami orang kotor, kami orang sesat, kami orang mudarat. Jika kamu orang merdeka maka nyahlah dari sini. Nyahlah dari sini!

Monday, October 27, 2008

Titik permulaan

Alhamdulillah, eloklah saya sebutkan sekali lagi secara jelas wajah Allah itu boleh dikenali melalui jalan langit dan juga jalan bumi. Barangsiapa berada di langit akan mengenal Allah dengan pengenalan tinggi. Dan barangsiapa berada di bumi akan mengenal Allah dengan pengenalan rendah.

Berbahagialah mereka yang melalui jalan langit. Dan bersyukurlah mereka di jalan bumi. Matlamatnya kita kenal mengikut QADAR yang ditetapkan Allah. Tiada siapa yang terpinggir atau dipinggir olehNya.

Titik mula sesuatu pencarian atau pengenalan, samasekali tidak boleh kita nafikan. Baik sesuai dengan pemikiran ataupun di sebaliknya. Berikan diri kita titik permulaan ini. InsyaAllah kita akan bertemu laluan.

Setiap dari kita telah diberikan hidayah oleh Allah SWT. Tanpa hidayah apakah bisa kita memulakan sesuatu - baik ilmu mahupun perbuatan. Di sini ramai yang lupa bahawa kita senantiasa di dalam hidayahNya.

Mudah-mudahan kita tidak terus terbelenggu dari titik awal pengenalan bagi yang mahu mengenal, insyaAllah.

Setiap dari kita harus memberi peluang pada diri untuk memulakan titik ilmu. Seterusnya kita berserah kepada empunya ilmu itu sendiri. Kenapa tidak yakin dengan sifat kasih sayang dan pemurahNya?

Kita bebas menyanggah sesuatu ilmu itu tetapi harus dibuat dengan kekuatan dan bukan kelemahan. Saya perhatikan ramai gemar menyanggah secara kabur. Yakni menyanggah tanpa hujah terang lagi kukuh.

Ini bukanlah medan ilmu yang ideal tetapi merosakkan. Ilmu tidak akan berkembang malah menguncup. Akhirnya kita jadi rugi mematikan hujah tanpa hikmah.

Kita takut membuka minda kerana (mungkin) kelemahan yang ada tetapi apabila ada sahabat berani berhujah kita terus bantah. Tetapi sayangnya bantahan kita bersifat negatif semata-mata.

Marilah sama-sama kita belajar dan mengajar. Mana yang salah (kurang tepat) kita perbetulkan dengan kekuatan. InsyaAllah, kita akan diberi Allah hidayah demi hidayah.

Mengenal yang harus dikenali

Apa sahaja yang dinamakan adalah WAJAH. Bahkan apa jua tidak dinamakan, itupun WAJAH. Jadi wajah itu amat luas skopnya. Apa jua yang dapat diumpamakan punya wajah.

Suara adalah wajah. Rupa adalah wajah. Rasa adalah wajah. Gerak adalah wajah. Diam pun wajah

Misalan:
Jika kita melihat barang pecah, maka yang kita lihat itu adalah wajah pecah. Tanpa wajah itu tidak dapat kita namakan ia pecah.

Wajah masin diketahui melalui rasa masinnya. Kalau ianya manis maka itu bukan wajah masin. Itu adalah wajah manis. Begitulah rupa wajah-wajah lain.

Sudu itu sudu dan bukan garpu. Kerana garpu ada wajahnya dan dengan wajah itu kita kenali rupa garpu. Begitu juga dengan pinggan. Di sana ada wajah pinggan. Bulat rupanya, nipis bentuknya. Kita tidak akan katakan itu pisau. Kerana wajah pisau hanya terdapat pada pisau itu sendiri.

Orang berlari kita ketahui melalui wajah perbuatannya iaitu berlari dan bukan berjalan. Wajah berjalan lain dari wajah berlari.

Misalan di atas merupakan contoh kecil yang mudah kita fahami. Tetapi perihal wajah itu amat komplek untuk didetailkan.

Barangkali tidak salah kalau saya katakan bahawa kita melihat wajah Allah pada setiap saat atau lebih tepat lagi pada setiap nafas. Ini bukan sesuatu luarbiasa atau di luar pengetahuan ilmu. Kita semua berhadapan wajah-wajah Allah dengan segala indera. Baik kasar mahupun halus.

Allah mahu dikenali. Diciptanya manusia untuk mengenaliNya. Seperti anda boleh melihat (mengenal) Ahmad Mahmud pada nama, sifat dan perbuatan tetapi bukan zat. Zat pula dapat dikenali dengan sifat, perbuatan dan nama.

Misyalnya: Itu tangan Ahmad Mahmud. Tetapi tangan itu bukan Ahmad Mahmud. Ahmad Mahmud adalah nama bagi zat. Tetapi zat itu bukan Ahmad Mahmud melainkan telah dinamakan begitu.

Jadi apa sahaja kepunyaan Ahmad Mahmud (asma, sifat, a'faal) menjadi lambang tanda Ahmad Mahmud itu sendiri (hidup dan wujud). Inilah wajah-wajah pengenalan Ahmad Mahmud secara keseluruhan. Tanpa sumber sedemikian Ahmad Mahmud tidak mungkin dikenali.

Barangkali tuan-tuan mempunyai pandangan yang lebih meluas lagi dalam memperkatakan wajah Allah ini, insyaAllah.

Itulah keistimewaan ilmu, barangkali. Allah itu boleh dikenali dari dua aspek, yakni menunjak atau menurun. Kita kenali Dia melalui jalan langit dan kita juga boleh kenali Dia melalui jalan bumi.

Tiada SATU tanpa BANYAK dan tiada BANYAK tanpa SATU. Begitu simbolik maksudnya, begitu luas gambarannya sehingga kita dapat mengenal barang yang harus dikenali, insyaAllah.

Ada lampu berkelipan

Kupasan ilmu mestilah terang umpama cahaya. Jika malap itu dipanggil hijab. Pengetahuan bagaikan pohan yang banyak cabang. Ada yang menjulang, ada menunjang. Ada yang rapuh ada yang bertiang.

Ilmu Allah laut-lautan. Ada yang berenang ada yang tenggelam. Ada yang berpaut sekeping papan. Ada yang berjalan-jalan di permukaan.

Jangan ditutup pintu ilmu apabila kita sukar hendak faham. Dalam gelap kita kelam. Dalam terangpun kita bisa buta lantaran pancaran.

Ada apa pada sekajang huruf jika tidak boleh membaca. Apa indahnya lagu jika kita sendiri tuli. Apa hebatnya buah fikir jika kita tidak menyemainya.

Semua orang kenal laut kerana ombak dan gelombangnya. Air biru masin rasanya. Ada pasir di gigian. Itu adalah laut. Anak-anak kecilpun kenal dan menyebut-nyebutnya. Tempat kita mandi-mandian. Tempat kapal lalu lalang.

Orang yang awam mengatakan permukaannya bergelombang tetapi di dalamnya ada ikan dan udang. Tanyalah para nelayan tentu ada banyak keterangan.

Orang yang berani pergi menyelam. Dia berjumpa batu karang dan hidupan beragam-ragam. Jika lebih jauh ke dalam lebih menakutkan ada khazanah menakjubkan.

Orang arif turun ke dasarnya. Ditemunya keajaiban tidak pernah terdengar atau tergambarkan. Ada negeri ada kerajaan. Ada bulan ada bintang. Ada lampu berkelipan. Di sana tidak perlu mata untuk melihat. Tidak perlu mulut untuk makan.

Jika disebarkan tidak ramai percaya kerana pada mereka di laut cuma ada ikan dan batu karang. Yang lebih malang ada menyangka kita tidak siuman.

Begitulah perbandingan laut dan ilmu-ilmu bagi orang yang memandangnya.

Jika bertanya tentang arak tanya pada yang arif (kaki arak). Dia mabuk ribuan kali. Jangan ditanya pada ulamak. Yang pandai hanyalah hukum-hakam!

Meniti terus meniti

Bila sudah betul-betul mengenal maka kita akan dapat saksikan dan mengisbatkan. Alam syahadah tempat kita bersyahadah. Jika kita masih membantah-bantah, kita umpama orang rabun meraba-raba tetapi mengaku terang.

Pun untuk meniti jambatan mustaqim bukan mudah. Seperti meniti di atas rambut dibelah tujuh. Lalu tergelincir. Pun begitu kita tergelincir di dalam rahmat Allah jua...

Memang semuanya dapat disaksikan di alam syahadah ini. Syurga dan neraka di sini. Tak usah pening kepala memikirkan perkara-perkara yang ghaib sifatnya. Lebih baik teliti apa di depan mata daripada merisaukan apa ada di sebalik benua.

Mustahil rambut dibelah tujuh dapat dilalui. Kiasan ini bermaksud 'sempadan' atau 'pemisah' yang begitu halus seperti rambut dibelah tujuh. Kita kononnya akan meniti dan terus meniti. Disebabkan terlalu nipis dan halus kita kerap atau amat kerap tergelincir. Kemudian kita bangun dan tergelincir dan bangun lagi.

Jestru itulah kita memohon supaya ditunjukkan jalan lurus. Kerana kita perlukan petunjuk agar tidak tergelincir dan bukan kerja menitian yang begitu kompleks itu dimaksudkan.

Tiap-tiap yang 'ADA' (wujud) tentu punya wajah. Mustahil ada tapi tak berwajah. Ada yang dapat dilihat dengan mata kepala dan ada dapat dilihat dengan mata hati. Bukankah telah disebut: Ke mana saja engkau hadapkan muka kamu di situ wajah Allah. Terang dan jelas. Maka saya bertanya: Tidakkah anda melihatnya...

Bukan bermaksud hendak mempermudahkan persoalan atau mereka-reka persoalan. Dengan sedikit cahaya, insyaAllah, akan timbul kefahaman.

Kita harus banyak berfikir. Fikir ketika melihat, fikir ketika mendengar. Kemudian rumuskan kepada hisab, kejadian semulajadi, naluri, dan kitab (barangkali banyak lagi), insyaAllah akan terbukalah rahsia-rahsia.

Fikirkan setajam yang mampu

Saya ingin mengajak tuan-tuan semua berfikir kemudian kita sama-sama bincangkan. Saya letih bertakliqkan kitab-kitab besar karangan orang-orang besar dahulu dan kini. Bila berguru kita takliq guru. Bila baca buku kita takliq buku. Kemudian meminjam istilah-istilah sufi dan bahasa Arab di depan awam. Maka nampak hebatlah kita...

Bukan kitab-kitab itu salah, bukan guru-guru yang salah. Tetapi mereka berkata dengan ilmu mereka tahu sahaja. Apa yang mereka tidak tahu mereka tidak mampu katakan. Ilmu-ilmu yang diperkatakan itu sesuai dengan bahagian mereka. Oleh itu mana pula bahagian kita.

Mereka banyak berfikir (bertakfakur) dan pandangan mereka tajam ditambah pula bermujahadah terus dengan Allah. Mereka peroleh bahagian-bahagian ilmu yang ditentukan Tuhannya.

Kita tidak suka berfikir lantas mengambil jalan bertakliq. Ilmu-ilmu yang diambil terus tanpa keupayaan berfikir tentunya jadi sulit kalau dibicarakan di hadapan orang yang tajam matahatinya.

Marilah kita mencari bahagian kita. Tidak ada apa kurangnya kita jika kita rajin "bacalah dengan nama Tuhanmu..." Tuhan itu Maha Pemurah akan ilmuNya.

Allah itu meliput sesuatu. Anda tidak akan dapat melihat zat tetapi anda mampu melihat wajah. Perbuatan ada wajahnya. Perkataan ada wajahnya. Perasaan ada wajahnya dan banyak lagi.

Kita mengenal wajah-wajah ini melalui indera kita. Indera rasa, indera dengar misyalnya. Bukalah minda dan perhatikan. Cuba fikir setajam yang mampu mudah-mudahan akan tersingkaplah rahsia-rahsia ini. InsyaAllah

Kita sebenarnya tidak memberi diri ruang untuk berfikir. Kita lebih senang dengan pendapat oranglain tanpa ragu-ragu. Kita telah diasuh dengan mendengar dan meniru. Inilah masalah kita.

Yang mahu berfikir...

"Di mana sahaja kau hadapkan mukamu di situ wajah Allah."

Perkataan ini amat diketahui dan sebati oleh kita semua - akan tetapi apakah sebenar maksud "wajah" Allah itu. Ia amat penting bagi tujuan pengenalan yang kita dahagakan itu. Di alam syahadah ini kita cuma mampu melihat wajahNya sahaja, itupun ramai di antara kita seperti orang buta.

Angin ada wajah, udara punya wajah, suara ada wajah, diam pun punya wajah.

Setiap perkataan punya wajah. Dalam huruf punya wajah. Gelap ada wajah, terangpun ada wajah.

Yang dikatakan wajah Allah itu mana satu? Sesungguhnya kita kenal akan wajah itu tetapi masih keliru...

Yang kita lihat, dengar, rasa dan yang ghaib seperti ilmu - adalah wajah. Yang diketahui dan yang tidak diketahui adalah wajah.

Hakikat dari wajah-wajah itu satu jua. Seperti melihat yang banyak pada yang Satu dan Satu pada yang banyak.

Jika Dia tidak mempunyai wajah maka mustahil Dia dapat dikenal.

Seperti apa difirman dalam al-Quran misalnya, kita menyangka itu semua sesuatu yang ghaib. Tidak ada di sini, ada di dalam, sifatnya ghaib. Walhal al-Quran itu penuh dengan hikmah dan rahsia besar bagi mereka yang mahu "berfikir"...

Kalau terus berfikir semua tidak ada di sini sudah tentu kita tidak berjumpa apa-apa. Kalau berjumpapun mungkin sempadan. Ini kerana kita gemar bertakliq. Kita tidak mahu memikir rahsia-rahsia yang tersirat.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan..."

Perhatikan jangan takliq semata-mata. Iblis yang ditakuti itu adalah diri sendiri ketika kita jadi api atau dibakar api. Oleh itu kita disuruh berlindung dari sifat keji ini. Perhatikanlah rahsia ini jika tuan-tuan orang yang berfikir.

Semua ini adalah sebahagian dari wajah. Fikirkanlah jangan terus menutup pintu dengan mencari sempadan. Tidak ada yang lain cuma wajahNya.

Mudah-mudahan Allah terus membuka matahati kita dan kita pula ikhlas dengan ilmuNya.

Berhati-hati memberi faham

Memang benar, persoalan kita hadapi ini memanglah berat. Memperkatakan hal tauhid ini satu ilmu yang tinggi dan komplek. Malah akal tidak mampu memecahnya. Sememang akal itu lemah dan tertakluk kepada perkiraan mathematics dan logic. Walhal ilmu tauhid ini tidak mampu terjangkau oleh kekuatan akal. Apatah kita yang dhaif dan jahil ini.

Jika diuruti dengan akal maka timbullah pendapat berlandaskan kemampuan akal (itu) masing-masing. Bila dibicarakan secara umum, kita terdedah pada pelbagai pemikiran. Tidak mungkin dapat dicari secucuk dengan fahaman kita. Persoalan begini mengundang banyak kekeliruan apabila dibahaskan orang awam (seperti kita).

Marilah kita berbincang sebaik mungkin. Yang sukar melihat Kesempurnaan Allah harus bersabar. Yang mampu meletakkan wujud itu hanya Allah, berhati-hatilah memberi faham. Sebaiknya kita ambil jalan tengah. Yang di bawah tidak terkejut dan yang atas tidak kecewa.

Yang penting harus ditanam kuat keyakinan bahawa Allah itu: Meliputi, Berkehendak, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Sempurna, tiada lain hanya Dia (yang kita nafi dan isbatkan).

Kita menyaksikan tiada lain hanyalah Dia. Dia menyesatkan dan Dia juga meluruskan. Dialah zahir Dia juga bathin. Dia yang awal Dia jugalah yang akhir.

Demi kesempurnaan dan pengetahuanNya, kita sebagai hamba wajib bersangka baik dan akui segala sesuatu di alam ini terhasil daripada kesempurnaan PenciptaanNya. Kita harus akui Dia mengetahui setiap apa berlaku - sebelum dan sesudah. Jadi tidak ada sesuatu berjalan di luar pengetahuanNya.

Sayangnya kita tidak sedar sehingga mempertikaikan pengetahuan dan kesempurnaanNya sepanjang hayat. Kita harus belajar bagaimana menyucikan Allah dari sangkaan buruk kita. Jika tidak mampu tak mengapa kerana tidak diberiNya ilmu pembukaan ini. Tetapi jangan lupa terus beristigfar. Minta ampun banyak-banyak.

Barangkali pandangan dan fahaman saya kurang tepat. Saya dengan rendah hati memohon maaf. Sebanyak itu saja saya tahu.

Kepada saudaraku, terimalah mereka yang membantah tuan. Yang membantah itupun bukan disengajakan. Mungkin kerana kurang faham. Maklum sahajalah faham kita berbeza-beza... tetapi tempat yang dituju hanyalah Satu. Allahuakbar

Mudah-mudahan kita semua mendapat pimpinanNya dunia dan akhirat. Amin...

Tidak dicipta sesuatu itu sia-sia

Dapat kiranya tuan-tuan terangkan - apakah bentuk ilmu dan kaedah amalan, dengannya seseorang itu mampu mentauhidkan Allah dengan sebenar-benar tauhid. Jika diperhatikan (di luar sana) begitu ramai mengupas perihal tauhid ini tanpa hendi. Malah ada mengatakan sudah capai ke maqam istimewa ini. Alhamdulillah.

Rasanya apabila sudah berada di maqam ini, tentu banyak kesan-kesan luarbiasa terhadap diri dan pandangan keseluruhannya. Dari sudut ilmu dan getaran rasa. Sukar untuk digambarkan bagi kita yang tidak memahami ilmu ini. Mudah-mudahan ada di antara tuan-tuan yang dimuliakan sudi menzakati ilmu hebat ini, insyaAllah.

Saya ingin menambah sedikit persoalan. Barangkali kerana kejahilan saya senantiasa tertanya-tanya kenapa begitu ramai manusia masih melihat kesilapan atau ketidak-sempurnaan di muka bumi ini. Seolah-olah tidak ada keadilan di sana sini. Biarpun semuanya yakin akan Kasih Sayang dan Kesempurnaan Allah dalam setiap ciptaan. Baik sifat mahupun afaal. Malah kita yakin Dia Mengetahui sebelum dan sesudah azali.

Tetapi tanpa sadar kita 'mempertikaikan' Kesempurnaan dan Pengetahuan ini. Banyak yang kita benci. Banyak perkara kita tidak puas hati. Kepada siapa mahu kita letakkan kesalahan itu? Kepada siapakah hendak ditempelakkan rasa tidak puashati itu? Apakah kita bermaksud Allah itu sendiri. Bukankah tidak ciptakan sesuatu itu dengan sia-sia...

Sebenarnya kita berburuk-sangka terhadap Yang Maha Pencipta. Tetapi kita tidak pernah mahu mengakuinya. Kita tidak sadar...

Kita tidak suka pada yang buruk. Kita tidak suka pada kejian. Kita cemburu, kita kecil hati, kita menolak itu dan ini. Lalu kita bercakap fasal menyucikan hati dari sifat tamak, riak, ujub, sumah dan sebagainya. Kita baca kitab-kitab besar. Kita dampingi orang-orang hebat. Kita buka ilmu rahsia. Tetapi tidak sadar ilmu yang dijunjung tidak punya nilai harga apabila tidak bersyukur.

Bersangka-baiklah terhadap Allah di dalam setiap perkara. Yang kita suka atau yang duka. Jangan marah pada lukisan kerana buruk bentuknya tapi marahlah pelukis itu sendiri. Lukisan hanyalah hayalan jika tiada pelukisnya. Apakah kita mahu jadi begitu tidak bersyukur di atas Kesempurnaan hakiki ini!

Bersangka baik terhadap Allah adalah sebaik-baik kunci tauhid sebelum kita dapat menyucikanNya dari segala sangkaan. Menyucikannya dari sangkaan amat berat dan komplek sekali. Kadang-kadang kita diresapi rasa bodoh yang tersangat. Kadang-kadang kita lemas kekeliruan. Segala kefahaman jadi kusut. Begitulah beratnya...

Benar manusia itu lemah. Tidak mampu menampung barang setitispun PengetahuanNya. Kerana itulah manusia bertelagah, bantah-membantah, resah gelisah, kesal dan racau. Kita tidak tahu sedikitpun melainkan apa yang diberitahu olehNya. Bersabarlah. Kalau sudah beri tali, peganglah kuat-kuat. Barangsiapa melepaskannya tidak akan beruntung dunia dan akhirat.

Pandanglah hanya Dia dalam segala hal. Jangan asyik terhibur dengan ghairullah. Mudah-mudahan kita dipimpin bersama salutan cahaya, insyaAllah.

Suluk (Petikan dari Ana Al-haq dll)

1 Sifat melihat tak mempunyai penzahiran di dunia ini, kecuali kemampuan melihat. Kemampuan melihat tidak mempunyai penzahiran kecuali melalui indera melihat iaitu mata. Dengan itu sifat-sifat dizahirkan melalui bakat dan kemampuan. Syariat menamakan kemampuan ini sebagai malaikat, kaum sufi menamakan roh dan kaum filsauf menamakan bakat/kemampuan.

Dunia adalah penzahiran dari sifat-sifat Tuhan. Setiap sifat telah menerima bentuk kemampuan dan tertakluk mengikut aturan sebab-musabab. Kemampuan itu termasuk dunia malaikat (malakut) dan sifat termasuk jabarut. Semua indera dan anggota adalah penzahiran sifat-sifat. Seorang ahli mata bathin melihat dalam cermin indera dan anggota tubuhnya itu sifat-sifat Tuhan - dan dia menjadi pelaku dalamnya. Kaum sufi menamakan keadaan ini Qurb-i-Nawaafil, dalam mana Haq merupa alat salik. Kadang-kadang kemampuan dan isranya, yakni alat daripada Tuhan, dan Tuhan sebagai pelaku dan ini dinamakan Qurb-i-Faraayad.

2 Dalam fana, wujud salik terbatas setelah dilihatnya yang wujud hanya Allah sehingga tidak menyedari kewujudan bentuk-bentuk lainnya. Inilah keadaan wilayah (kewaliyan). Perbezaan di antara para auliya bergantung berapa lama fana ini berlaku. Ada orang berada untuk beberapa minit, ada beberapa jam, yang lain beberapa hari dan begitulah seterusnya. Mereka yang kekal keadaannya (baqa) selama hidup dinamakan majzub. Inilah keadaan baqa.

3 Seorang penyair Parsi berkata: "Aku pergi ke tepi laut dan melihat pemandangan ajaib. Kapal berada di laut dan laut berada dalam kapal."

Seorang arif yang sempurna ibarat cermin benar dari Tuhan. Tetapi kenapa terbatas hanya kepada orang arif atau insan kamil, bila setiap atom dari alam ini juga mencerminkan beberapa sifat Tuhan? Manusia adalah cermin paling sempurna dari semua sifat. Dia mempunyai selaput gelap paling rapat diperlukan untuk memantulkan wajah yang melihat cermin. Malaikat-malaikat menghadirkan cahaya; bentuk/kebendaan hanyalah kegelapan. Seorang manusia mempunyai kedua-duanya pada cermin yang biasa.

4 Pengetahuan Tuhan lenyap ke dalam pengetahuan sufi, bagaimana orang biasa bisa mengerti ini?

Pengetahuan Tuhan pada mulanya didapati dengan membezakan antara pencipta dan yang diciptakan, akhirnya hilang dalam pengetahuan sufi.

5 Tiada Tuhan selain Allah - tiada yang wujud kecuali wujud salik. Ini adalah pernyataan syahadat kaum Anawalla. Ingatlah dengan pasti bahawa kewujudan ini kewujudan Haq. "Aku ada dan tak ada seorangpun di sampingKu" - "Tak ada yang wujud kecuali Aku."

Peryataan dari semua fenomena merupakan kebenaran. Dari gula, semua bentuk manis dapat diadun. Jika engkau menelannya satu engkau tidak menemukan sesuatu melain kemanisan itu sendiri.

6 Syirik apabila seorang menyekutukan Tuhan - baik dalam pemujaan, dalam cinta, dalam keillahian mahupun dalam kewujudan. Syirik ada dua sifat yakni Jalii (terang) dan khafi (tersembunyi). Syirik-I-khafii tidak kelihatan - seperti semut hitam di atas batu hitam - dia berada dalam zat atau dalam sifat mahupun dalam perbuatan.

Semua perbuatan baik dan jelek adalah syirik kalau tidak memfanakan diri dalam Tuhan. Engkau tak bisa lari daripada syirik. "Tiada Tuhan selain Allah" adalah penafian syirik seseorang lalu memutuskan dirinya dari syariat dengan memusatkan dirinya kepada kepercayaan berdasarkan pengetahuan dan percakapan hal ini.

Mawaahid adalah seorang yang mencapai keadaan hal dan melihat hanya pada kebenaran yang haq dan tidak pernah lalai daripada syariat kecuali bila dipengaruhi oleh hal.

7 Kufur dan Islam ada dua jenis: (1) Kufur kiasan dan kufur tulen, (2) Islam kiasan dan Islam tulen.

Kufur kiasan itu menyembuyikan kebenaran. Kufur tulen pula ego seorang salik - yakni menutupi kebenaran dengan keakuan. Islam kiasan menjalankan aturan syariat. Islam tulen mencapai baqa sesudah fana.

8 "Di belakang cermin aku ditempatkan sebagai seekor burung kakatua. Apa yang diucapkan Yang Maha Abadi, itulah bakal kuucapkan."

Di sini tubuh diumpamakan dengan cermin dan keakuan di belakang cermin itulah yang bekerja. Apabila salik menafikan kewujudannya, setiap gerak dan diamnya (perlakuan) menjadi gerak-diam Tuhan.

9 Fikir ada tiga: Pertama, memikir urusan dunia; kedua, syurga dan neraka; dan ketiga, zat dan sifat Tuhan. Yang ketiga inilah yang diisyaratkan sesaat tafakur itu lebih baik daripada 70 tahun ibadah.

Dalam hal ini engkau harus ingat bentuk-bentuk sebagai zat Tuhan dengan membuang kepelbagaian pemandangan; meningkat aneka ragam bertentangan bentuk sebagai sifat Tuhan, perbuatan mereka sebagai perbuatan Tuhan. Ini dinamakan Wahdah, dalam mana yang lain menghilang dari pandangan - begitulah jalan ke sini.

Anggaplah dirimu sebagai pernyataan zat - "zatku adalah zat Tuhan." Kemudian berpindah kepada "sifatku adalah sifat Tuhan" dan berpindah lagi "perbuatanku adalah perbuatan Tuhan." Cari perpindahan ini (nuzuul), kemudian maju menaik (uruj).

Perbuatanku perbuatan Tuhan; sifatku sifat Tuhan, dan zatku zat Tuhan. Kemudian berpindah sekali lagi "dengan Tuhan." Dalam uruj engkau peroleh fana, dalam perpindahan kedua engkau peroleh baqa. Dalam uruj perbuatan, sifat dan zat dari salik hilang dalam perbuatan, sifat dan zat Tuhan. Dalam nuzul perbuatan, sifat dan zat Tuhan dapat pengesahannya dalam salik.

"Siapapun melihat sekilas kufur tulen dia akan jijik pada Islam yang kelihatan."

Islam nyata mendirikan peraturan, Islam tulen terdiri dari pemusnahan diri. Yang pertama laksana mendokong kemusyrikan. Oleh itu dikatakan seorang sufi itu tidak mempunyai agama kecuali kebenaran.

Kufur nyata dan mukmin nyata hanya sibuk membersihkan luaran. Seorang sufi membebaskan dirinya daripada ini.

10 Menyatakan kemiskinan di hadapan Tuhan adalah keluhan. Seorang hamba tidak mengeluh pada tuannya. Kaum syuttari tidak mengeluh - mereka memakan apa yang didapatnya, memandang hanya kepada pemberi hadiah yang sebenar. Oleh kerana itu, menerima kebenaran ini lebih baik daripada tawakal. Seorang faqir adalah penguasa dunia, tiada yang menghalangi dia dari mengguna miliknya sendiri.

Dalam suluk engkau harus memindahkan pandanganmu daripada ghair. Rasul meminta seikat korma dari Hasyim, seorang Anshar. Seseorang tidaklah berterus terang dalam meminta. Malik Kaafur mengirimkan hadiah kepada seorang faqir tapi ditolaknya sambil berkata: "Aku tidak menerima dari selain Tuhan." Kaafur mengirimkan pesan kembali: "Apa yang ada di langit dan di bumi mengatakan keagungan Tuhan; di mana ada tempat bagi Kaafur?"

Pemberi dan penerima hanyalah Tuhan. Mujahadah permainan anak-anak dan melihat Tuhan di mana-mana adalah perjuangan lelaki.

11 Dalam syariat, mematikan diri berarti meninggalkan dosa dengan menghilangkan keinginan-keinganan diri. Ketika fana mereka meninggalkan semua keingingan dan dalam baqa mereka menggabungkan semua sifat-sifatNya.

Dalam syariat, mati berarti menahan diri daripada dosa. Dalam tariqah artinya meninggalkan semua perlakuan jelek dan memakaikan sifat baik.

Dalam haqiqat berarti membuang keakuan diri, ini lebih sukar dari apa disebutkan di atas. Seseorang tidak akan berjaya tanpa kurniaan Tuhan di bawah pimpinan pir/guru yang sempurna. Jika hanya dengan latihan dan mujahadah sendirian amat sukar mencapainya. Ada orang mengertikan ini mematikan diri sendiri untuk menjadi kehidupan itu sendiri. Tak ada perlunya untuk mati. Kematian telah ada di sini (berkaitan dengan zat manusia yang adum). Inilah sikap kaum Syuttari. Abdullah Bilyali berkata tidak ada seorang arifpun mampu capai pengetahun Tuhan kecuali menganggap zat, sifat dan afaal sebagai zat sifat dan afaal Tuhan.

Tuhan kekal dalam kekekalanNya. Tiada siapapun wujud kecuali Dia. "Akulah Tuhan tiada Tuhan kecuali Aku." Siapa yang bisa mengatakan "Aku" kecuali Tuhan sendiri?

Satu hadith mengatakan: "Siapa mengenal dirinya kenal akan Tuhannya." Kenalilah zatmu sebagai zat Tuhan, kewujudanmu sebagai kewujudan Tuhan, pengenalanmu sebagai pengenal Tuhan. Tidak dipersoalkan lagi apakah engkau berkata aku Tuhan atau Dia Tuhan.

Empat belas kata ganti Aku berpusat dalam empat belas arah. Dia adalah yang pertama jika Dia bicara tentang Dirinya. Katanya "Ana-al-haq." Keesaan itu tidaklah digandakan oleh keserbaragaman dari kata ganti dan keserbaragaman ini tidak mempunyai realitas.

Kepelbagaian itu tertakluk dalam sifat-sifat dan aatsary (efek-efeknya). Yang wujud tidaklah lebih dari satu, tapi dia mempunyai pantulan dalaman dan luaran dalam keesaanya dan kepelbagaian dalam sifat dan afaal. Dia dalam kata ganti pertama, Aku; kalau keluar dari ghaib, Dia menamakan Dirinya Engkau. Kalau mundur lagi ke dalam ghaib, Dia menyebut Dirinya orang ketiga. Bila Dia melihat pernyataanNya banyak, Dia menamakan dirinya Kami.

Oleh itu kenalilah keakuanmu dan anggaplah dirimu sebagai adanya dirimu sendiri dan jangan mengambilnya daripada ghair. "Dia telah mengenal Tuhan tidak mengucapkan Tuhan."

Bila kewujudan mempunyai wujud yang lain maka engkau mempunyai Tuhan lain. Dia telah keluar dari dalaman ke luaran dan bukan ghair.

Tidak ada yang ghair bisa diberiNya kelahiran. Tuhan dilihat dalam bentuk-bentuk, kemampuan-kemampuan dan sifat-sifatNya, dan penzahiranNya dinamakan dunia. Itulah tanda penzahiranNya dan alam ini pakaianNya. Tauhid dicapai melalui penafian diri, penghapusan pembatalan itu sendiri - dan kebenaran alam itu sendiri.

12 Auliya tidak mempunyai kekuasaan mengajak orang kepada kepercayaannya, sebaliknya rasul-rasul mempunyai kekuasaan itu. Oleh itu wilayat adalah bahagian yang paling akhir dan kenabian tergantung pada wilayat. Seperti ketergantungan seorang raja pada bendaharinya biarpun perbendaharaan itu milik raja tapi dia bergantung pada bendahari bagi mengeluarkan hartanya. Fisikalnya nampak ketergantungan, tapi tetap di bawah kekuasaaannya.

Ada waktu bersama Tuhan tidak ada malaikat yang hampir mahupun seorang nabi yang diutus mengetahui. Inilah tahap wilayat dalam mana tajalli kedekatan kenabian melarut.

Kenabian itu sifat sementara, mereka menjadi nabi dalam waktu sementara (tertentu) dalam hidupnya. Hal ini berkaitan dengan perbaikan yang dicipta, yang juga sementara. Wilayat pula sifat zat dan kekal. Bila tugas kenabian seorang nabi itu hilang, dia tetap wali.

Bila wilayat dan kenabian digabungkan dalam diri seseorang maka yang terdahulu memegang posisi yang lebih tinggi.

14 Wilayat melihat Tuhan melalui Tuhan, kenabian melihat Tuhan melalui ciptaan. Dalam hal pertama, tiada lindungan dari bayangan ada dari ciptaan; dalam hal kedua benda-benda tetap berada dalam penyaksian bersama penglihatan Tuhan. Dalam hal pertama, melihat Tuhan tanpa curigakan kewujudan ciptaan, termasuk salik sendiri; dalam hal kedua penglihatan merangkumi keduanya tetap. Yang pertama tahap fananya lebih sempurna. Al wiyaayatu afdhalun mina'nnubuwah (Wilayat adalah lebih unggul daripada kenabian).

Abu Yazid berkata: "Ketika aku mencapai lautan dari kenyataan, aku menemukan nabi-nabi di pantai dan aku sendiri dalam lautan." Kenabian menemui mabda (asal) dan ma'ad (keadaan akan datang) melalui kewujudan kenabian; orang lain harus mengerti mabda mereka sendiri dan ma'ad dari ajarannya. Nabi-nabi menganggap mereka sendiri dari Tuhan dan bersama Tuhan dan batas-batas Tuhan itu sendiri.

15 Permujaan berhala dan Islam keduanya berada di jalan anda. Menyatakan "Anda adalah tunggal tanpa sekutu."

Orang-orang kuffar percaya keesaan Tuhan dan tidak percaya pada kenabian meskipun zahirnya mereka mungkin tidak mengakui keesaaan itu sendiri. Bila dikatakan perbezaan terletak dalam perbuatan, inipun benar kerana setiap perbuatan lahir dari niat.

"Apa yang ada di langit dan di bumi menyatakan keagungan Tuhan." Oleh itu kaum kafir tak bisa dikeluarkan dari kategori orang-orang yang percayakan keesaan.

Gulshan Raz berkata: "Bila seorang Muslim mengetahui apa itu berhala, dia akan mengetahui bahawa agama itu penyembahan berhala."

Seorang penyembah berhala menjadi penyembah berhala bila melihat berhala itu diciptakan - dengan itu dia menjadi kafir. Jika engkau tidak melihat keillahian tersembunyi di dalamnya maka engkau dinamakan Muslim syariat. Ini adalah Islam Majasi.

Perbezaan tidak dalam pengertian tetapi dalam kata-kata dan cara. Kaum Muslim menamakanNya Allah, dan penganut Hindu, Brahma. Tuhan dipuja di mana-mana dan oleh semua di langit dan bumi. Ada diceritakan Jibrail mendengar suara "Labbaik! Labbaik!," dan bertanya kepada siapa ia ditujukan. Dia tidak menemukan pemuja di sinagog, gereja atau masjid memuji Tuhan ketika itu. Suara Illahi berkata, "Pergilah ke sebuah kuil di Rom dan temuilah kebenaran."

Di sana dia menemui seorang Magian (budiman Timur), bersujud di depan berhala dengan hati remuk-redam, menangis dan teriak, "O, Rab! O, Rab!" dan terdengar suara "Labbaik! Labbaik!" (Di sini Aku) sebagai jawapan. Jibrail menjadi marah dan mohon izin merobohkan kuil itu bersama si Magian. Jawapan datang melarang: "O, Jibrail, sekalipun dia kehilangan tempat pemujaan, yang dipujanya itu tak kehilangan Dirinya sendiri. Dia memuja pada setiap tempat dan di setiap keadaan."

16 Persahabatan dengan penelaah-penelaah kitab berpengaruh tidak baik kepada orang-orang meditasi (ahli muraqabah), pengethuan haru dielakkan dalam muraqaba. Bahkan tajalliyat menggelapi bathin dalam muraqaba. Serahkanlah dirimu kepada keluppa (kekosongan) dan jangan biarkan pengetahuan datang. Bila firkiran-fikiran datang, mereka akaan mengukir gamabaran hayalan pada bathin dang membikinnya menjadi musium. Bahkan pengethuan tentang tasawwuf dan kepelbagaian asyghaal menghalangi kelupaan diri. Al-ilmu hijabbullahu akhbar. Engkau harus melupakan dirimu sendiri sehingga pengetahuan tentang melupakan itu tidak ada lagi.

17 Tajalliyat adam (kosong) yang lain daripada wujud. Kejahatan tidak mengaitkan dirinya pada kewujudan peribadi akan dideritanya di sini atau di dunia akan datang. Kejahatan adalah kejahatan, hanya relatif; anjing dan babi itu baik di tempat mereka tetapi kotor di sudut manusia. Kewujudan adalah kebaikan lengkap yang menyeluruh, ia timbul dari asma bertentangan. Seorang sufi berkata: "Unsur yang empat pergi ke tempat masing-masing dan roh tinggal di mana tajalli Tuhan bercahaya."

18 Jadilah keranjingan dengan Tuhan tapi hati-hati dengan Muhammad, kerana cinta adalah keranjingan dengan Tuhan dan orang syarak dan jadilah bijaksana jangan bicara tentang cinta. Berbicaralah mengikut tahap kefahaman mereka, demikian kata pepatah. Keranjingan cinta pada zat dan kesadaran berkaitan wahdah atau kebenaran Muhammad SAW, inilah tahap jadilah dan jangan jadi.

Tujuan haqiqat adalah syariat. Laa illaha'illallah adalah tujauan syariat. Muhammadur rasulullah adalah tujuan hadiqat. Dari yang satu langkah pula pada yang lain untuk jadi manusia sempurna dan memasuki tahap Mawqam Mahmud. Tanpa sukr (lupa) engkau tak bisa mencapai sahw (mengingat lupa). Apabila engkau gagal melupakan dirimu dan menjadi tahu bahawa engkau melupakan dirimu tiadalah kenikmatan. Hanya melupakan tidak akan berkesan jika tidak kembali pada diri sendiri dan memelihara ingatan melupakan itu (sahw). Sekali alam mitsyal hilang daripadamu kesannya tak mungkin terhapus. Engkau menjadi auliya yakni manusia unggul jika engkau mahu. Rasullullah SAW hanya sekali melaku mikraj.

19 "Laa illaha illallah" Tiada Tuhan hanya Allah. Laa (tiada) adalah pemusnahan diri dan dunia. Salik dan dunia dimusnahkan - musnah (faanii) dengan sendiri dan kekal (baqa) oleh Tuhan. Hanya Ahadiyyah yang tinggal di luar batasan pengetahuan. Haqiqat Muhammad itu titik pertama di mana zat mengetahui dirinya sendiri.

Hati Para Kekasih (Al-Hikam)

Allah menutupi cahaya hati dengan berbagai keadaan lahiriyyah kerana memuliakannya untuk dikurniakan secara terang-terangan atau untuk dipanggil atasnya dengan lisan kemasyhuran.

*Sekiranya tidak Allah tutupi cahaya ini, kemungkinan mereka (wali Allah) sukar melaksanakan apa jua menjadi kewajiban ke atas mereka dan boleh menjurus kepada pendurhakaan. Begitu juga jika cahaya ini terang takut nanti orang banyak tersesat melihat kekeramatan mereka (para wali) itu.

Maha Suci Allah yang tidak menjadikan bukti (tanda) terhadap para waliNya, kecuali sekadar bukti pengenalan kepadanya, dan tidak akan sampai kepada mereka kecuali orang yang telah dikehendaki oleh Allah untuk menyampaikan kepadanya.

*Mereka itu orang-orang beriman dan bertakwa. Mereka istiqamah dalam keyakinan, tidak berduka cita dalam kehidupan dunia dan akhirat. Sukar untuk mengenali mereka (para wali) ini kecuali orang-orang yang dikurniakan Allah ilmu pengenalan. Sesungguhnya keadaan mereka ditutup dengan sifat dan lakuan manusia biasa.

Mengenal wali itu lebih sukar daripada mengenal Allah, kerana sesungguhnya Allah itu dapat dikenali dengan bukti-bukti kesempurnaan dan keindahanNya.

Para waliKu itu ada di bawah naunganKu, tiada yang mengenali mereka dan mendekat kepada seorang wali, kecuali jika Allah memberikan taufik dan hidayahNya, agar langsung ia dapat mengenal Allah dan kebesaranNya yang diberi kepada seseorang yang dikehendakiNya. (Hadith qudsi)

Adakalanya Allah memperlihatkan kepadamu sebahagian dari alam ghaib di alam malakut dan Dia menutupi daripadamu atas rahsia para hambaNya.

*Para wali tidak diizinkan untuk mengetahui rahsia-rahsia yang ada sesama manusia. Kerana apa jua yang berlaku ke atas seseorang manusia itu adalah urusan Tuhan dan tidak seorangpun berhak mencampurinya.

Tidak semestinya daripada tetapnya sifat-sifat khususiyah itu akan melenyapkan sifat-sifat basyariyah, sesunggunya perumpamaan sifat-sifat khususiyah itu bagaikan cahaya mahari pada waktu siangyang terlihat nyata dari ufuk yang sebenarnya ia bukan dari ufuk. Adakalanya sifat Allah itu menerangi kegelapan wujudNya dan adakalanya pula Allah mencabut cahaya itu daripada engkau, lantas engkau kembali kepada batas-batas kejadiamu, maka siang hari itu bukan daripada engkau dan tidak pula kepada engkau, tetapi dia menerangi engkau.

*Sifat khususiyah adalah sifat istimewa kurniaan Allah SWT kepada seseorang sehingga lahirnya perkara luarbiasa seperti hal-hal yang mencarik adat. Manakala sifat basyariyah adalah sifat umum yang dimiliki manusia secara lahiriyahnya.

Pengertian Hakikat

Hakikat di sini adalah sesuatu yang benar, suci serta merupakan akhir perjalanan.

Ainul yakin merupakan kebalikan dari keadaan ragu-ragu, ia merupakan perjalanan hakiki seperti firman Allah SWT: "Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ainul yakin."

Ertinya engkau akan melihat hakikat itu sebagai buah dari ilmu yakin. Sebenarnya ainul yakin merupakan kesaksian terhadap makna-makna Illahiyah yang terungkap dari al kasyf dan alam tajaliyat. Berkenaan yakin, Rasulullah bersabda maksudnya: "Pelajarilah al-yakin sebagaimana engkau mempelajari al-Quran hingga kamu mengerti tentangnya, sesungguhnya aku juga memperlajarinya."

Untuk mencapai tujuan ilmu yakin ini, harus diikuti beberapa perbuatan yang menjadi kewajiban. Ketahuilah, "sebab" menjadi alat untuk sampai kepada ilmu yakin.

Ilmu yakin adalah bagi para pemikir yang diisyaratkan dengan adanya bukti-bukti yang jelas. Sementara ilmu sufi merupakan ilmu ahwal, di mana ia diperolehi dengan memperbaiki amal perbuatan lahiriyah dan harus menempuh beberapa persyaratan, antara lain harus memperdalam ilmu-ilmu lahiriah, seperti ilmu syariat, ilmu usul fiqah dan segala cabang ilmu yang lain.

Seseorang tidak akan mencapai ilmu yakin, kecuali setelah memahami tiga masalah iaitu fiil, isim dan zat.

Di samping itu dua hal lain harus dimiliki oleh seseorang untuk mencapai ilmu yakin, iaitu unsur cahaya hati dan unsur fuad (kecerdasan). Dengan cahaya hati ini, roh manusia akan dapat menuntun pemikiran, ilmu dan kesedarannya sehingga mereka (mempunyai ilmu yakin) benar-benar dapat merasakan kekuatan ilmunya itu.

Al Fuad adalah tempat roh dalam hati, ia disebut dengan zatnya zat atau ainul yakin. Sementara itu ilmu yakin merupakan kesesuaian antara keyakinan dengan kenyataan berdasarkan dalil dan bukti rasional. Ilmu yakin disebut juga makrifat hakikiyah, atau makrifat akliyah manthiqiyah. Ia boleh dibuktikan menerusi ayat- ayat al-Quran seperti firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin."

Makrifat (Ibn Al-Arabi)

Akhirat bermaksud penghujung sesuatu tujuan. Tiada apa-apa lagi tujuan selepas ini. Inilah penyudah setiap pengenalan dan amalan. Di mana dunia pula tempat permulaan dan bukan tempat terakhir yang hakiki. Akhirat merupakan tempat ketenangan umat manusia, tidak ada lagi kekeliruan dan kesesatan berbanding kehidupan dunia.

Mengenal Allah (makrifatullah) merupakan awal dari ilmu pengetahuan, yang bersumber kepada hakikat dan ainul yakin. Tentu saja pengetahuan ainul yakin lebih utama daripada ilmu yakin. Ilmu itu bagi akal sedangkan hakikat bagi mata hati. Dalam usaha mencari hakikat, perasaan lebih utama daripada akal.

Kaum sufi melihat cara mencapai hakikat dan fana melalui dua cara. Pertama, dapat dicapai melalui latihan jasmani seperti zikir, solat dan puasa, mahupun melalui latihan bathin seperti mujahadah dalam menahan gelora serakah nafsu.

Yang kedua, dilakukan secara memusatkan perhatian tidak menyaksikan alam nyata. Berusaha untuk tenggelam di dalam kebesaran zat Allah SWT sehingga mencapai kesaksian zatNya dan fana. Fana merupakan hilangnya kewujudan diri dan larut ke dalam alam rohani.

Di dalam alam penuh makrifah ini, seorang arifbillah melihat suatu kehebatan yang menakutkan. Bagi mereka ketakutan itu seperti berada di tengah lautan lepas di larut malam. Fana adalah hilangnya sifat kemanusiaan bertukar dengan sifat-sifat Illahiyah. Yakni fana dari kebodohan dan kegelapan. Fana dari kekafiran dan sikap penentangan. Dan fana dari segala sifat tercela, ertinya ilmu yang dimiliki harus mengatasi kebodohan, keadilan dapat mengalahkan kezaliman, dan rasa syukur mampu menghilangkan kekufuran.

Setelah diri mengalami fana, mereka akan merasa selalu bersama Allah SWT, itulah yang dikatakan kekal atau baqa. Segala amal hanya diniatkan kepada Tuhan - bukan menjadi tujuan manfaat atau menahan diri dari bahaya. Sedang yang kekal pada hakikatnya hanyalah Allah SWT. Di mana zatNya berada sejak azali dan abadi.

Makrifat (Al-Hikam)

Makrifat bermaksud mengetahui atau mengenal Allah. Sedangkah menurut istilah ahli sufi, makrifat ialah cara mengetahui atau mengenal Allah melalui tanda-tanda kekuasaanNya. Kerana dengan memperhatikan tanda-tanda kekuasaanNya, kita dapat mengetahui akan kewujudan dan kebesaran Allah SWT.

Tanda-tanda kewujudan Allah nyata terlihat di sekeliling kita. Barangsiapa tidak mengenal Allah melalui ciptaanNya itu, adalah sebuta-buta hati manusia, sebagaimana yang dinyatakan Allah dalam firmanNya yang bermaksud: "Maka sesungguhnya bukan matanya yang buta tetapi yang buta adalah hati yang terdapat dalam dadanya."

Memperhatikan tanda-tanda kekuasaan dan kewujudan Allah yang berupa penciptaan makhlukNya itu bukanlah sekadar melihatnya dengan mata kasar saja. Tetapi hendaklah disokong oleh matahati yang jernih dan bersih daripa berbagai macam cemar dan dosa. Rasulullah bersabda kepada Abu Dzarr al-Ghiffari RA yang bermaksud: "Wahai Abu Dzarr, sembahlah oleh akan Allah seolah-olah engkau melihatNya, apabila engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau."

Salah satu tanda sudah mengenal Allah ialah senantiasa bersandar dan berserah diri kepadaNya semata-mata. Apabila memperolehi kenikmatan terus bersyukur, dan apabila mendapat musibah akan diterimanya ujian itu dengan sabar. Tiada sesuatu apa juapun yang berlaku di dunia ini, kecuali ada manfaat dan hikmah di sebaliknya.

Menurut al-Junaid, seseorang itu belum dapat dikatakan sebagai ahli makrifat sebelum dia mempunyai empat sifat berikut:

1) Mengenal Allah secara mendalam seakan-akan dapat berhubungan secara langsung denganNya.
2) Senantiasa berpedoman kepada bimbingan Rasulullah SAW dalam beramal.
3) Berserah diri sepenuh kepada Allah dalam mengendalikan hawa nafsunya.
4) Merasakan bahawa dirinya milik Allah dan pasti akan kembali kepadaNya.
"Bukanlah seorang yang arif apabila diberi isyarat maka merasakan telah menemukan Allah dan merasa hampir denganNya daripada isyaratnya. Akan tetapi seorang arif itu baginya tiada isyarat kerana fana pada wujudNya dan keterlipatan dalam melihatNya."

Jika seseorang tidak mempunya isyarat atau petunjuk sama sekali, meskipun pada hakikatnya isyarat itu boleh keluar sehingga hatinya merasa yakin segala sesuatu itu tidak ada, melainkan Allah. Maka orang yang demikianlah sebenar-benarnya telah mengenal Allah (ahli makrifat).

"Hakikat-hakikat ilmu yang diturunkan dalam keadaan tajalli, masih dalam bentuk mujmal (ilham yang menyeluruh). Setelah ada penerimaan barulah ada keterangan Allah yang berbunyi: "Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaan itu. Sesungguhnya atas Kamilah penjelasannya."

Ilmu-ilmu yang diturunkan Allah kepada ahli makrifat itu masih merupakan ilham dalam bentuk mujmal atau menyeluruh. Dan ilmu yang sudah sampai ke hati orang-orang makrifat itu baru boleh difahami setelah difikir-fikir dan direnungkan.

Tetapi apabila hasil pemikiran ahli makrifat itu dilihat secara sepintas lalu, ia kelihatan seakan-akan bertentangan dengan syariat. Bagaimanapun, jika difikir dan diamat-amati lebih mendalam, di sana akan nampak sama sekali tidak bertentangan dengan syariat atau hukum agama.

Ukuran ilmu

Dalam ilmu mesti ada kematangan. Dalam ilmu juga mesti ada akhlak. Ini adalah adab bagi sudah terang. Sebab ilmu kita dinilai melalui kematangan kita memaham. Maksudnya yang faham harus lebih terbuka dari yang kurang faham. Inilah ukuran dan tahap kematangan kita dalam berilmu.

Apa jua yang dikatakan pendapat itu tidak lain melainkan punya perselisihan. Orang bijak menangani perselisihan itu dengan kebijaksanaan. Bagi yang kurang bijak akan dirumusnya dengan perasaan.

Ramai orang banyak ilmunya tetapi kurang pemahaman. Ilmu banyak tetapi sedikit yang difaham tidak menguntungkan. Begitulah, ada bercakap dengan ilmu dan ada bercakap dengan faham. Orang berilmu akan mempertahankan ilmunya. Orang faham akan meluaskan fahamannya.

Setinggi manapun ilmu itu yang membenarkannya kita juga. Bukan ada pengiktirafan dari langit melainkan orang-orang sealiran. Dengan maksud lain, yang membenarkannya kita, yang menyalahkannya pun kita. Ia juga bergantung pada akal seseorang, samaada lemah ataupun tajam. Inilah segala punca menuju kepada perselisihan.

Kebenaran sesebuah ilmu itu terhasil dari keyakinan diri. Apabila diyakini bahawa itu adalah kebenaran maka benarlah ia. Jika oranglain tidak yakin mereka akan menyalahkannya. Kemana juga kita pergi kesimpulanannya tetap sama.

Sebagaimana diketahui kita ada zahir dan bathin. Barangsiapa membaca dengan mata zahir akan dapat ilmu zahir. Barangsiapa membaca dengan mata bathin akan dapat ilmu (rahsia) ghaib sifatnya. Tentu kedudukan ilmu-ilmu ini tidak sama dan berbeza. Untuk mengenal yang ghaib harus dilihat dengan mata ghaib. Fahamkanlah ini...

...Melainkan benar

Memperkatakan kebenaran perlukan keberanian. Menerima kebenaran harus dengan kekuatan. Kerana kebenaran itu kadangkala bagaikan ubat pahit bagi kita yang sukakan manis.

Kebenaran itu meliputi apa yang kita sangka palsu. Yang palsu itupun benar sifatnya. Seperti: marah itu benar, diam itu benar, dusta itu benar, takabur itu benar. Maksudnya setiap yang dinamakan itu benar sifatnya.

Kebenaran itu melata. Marah itu dikenali kerana sifat bagi marah itu nyata dan benar. Dusta itu dikenali kerana perlakuan dusta itu nyata dan benar. Tidak mampu untuk menafikan sekirannya perlakuan itu nyata benar. Jadi tidak ada bathilnya (palsu) perlakuan itu melainkan benar.

Melihat orang berzina dan mengatakan itu kerja zina, itu menandakan perbuatan itu benar. Yakni apabila perbuatan itu sempurna maka tidak dapat diganti dengan palsu. Yang pasti bathil itu tidak ada apabila yang benar itu datang(kelihatan).

Hukum mengatakan itu kerja dosa, maksiat, mungkar. Itu juga benar. Meletakkan hukum dosa kerana hukum adalah benar.

Apabila orang berjalan kita katakan sedang tidur, ini palsu. Duduk dikatakan berdiri, itu palsu. Putih dikatakan hitam, palsu. Bahkan palsu itu tidak ada - yang ada cuma memalsukan...

Benar, perbuatan yang dinamakan 'memalsukan' itu juga benar. Yakni perbuatan itu sudahpun dikenali atau dihakiki bahawa ianya kerja 'memalsukan'. Maka ianya benar pada sifat perlakuannya.

Teranglah ilmu yang terang

InsyaAllah, teranglah ilmu yang terang. Teranglah ilmu bagi yang terang. Teranglah ilmu bagi yang karam.

Lihatlah ilmu di dalam terang. Katakanlah dengan terang. Kalau tidak nampak jangan cepat jadi berang. Kalau tidak nampak cubalah jadi tenang.

Teranglah ilmu yang terang. Jauh terang dekatpun terang. Yang terang tetap terang.

Kitab bathin

Alhamdulillah, kerana saudara banyak bertanya, itu bermakna saudara seorang rajin berfikir. Dengan memikir kita dapat mengupas. Melihat pada barang zahir kita perlukan mata zahir tetapi melihat yang ghaib, kita perlukan mata ghaib (matahati).

Belajar agama kita akan mengenal fardhu dan hukum-hukumnya. Belajar rahsia 'alam' kita dapat mengenal Pencipta dan rahsia-rahsiaNya, insyaAllah.

Tidak usah saudara ragukan, semuanya DIA. Tiada lain melainkan DIA. Teruskan amalan bertafakur sehingga datang rasa yakin. Kerana ilmu ghaib tidak terdapat dalam kitab zahir. Bacalah kitab bathin...

Marilah kenali apa itu iblis, di mana asalnya, apa kekuasaannya, dan di mana hikmahnya. Kita tidak akan kemana-mana kalau asyik berperang dengannya. Kita akan mati langkah kalau terus takut kepadanya.

Kalau anda yakin dengan Allah, teruslah ke baris hadapan. Kalau tidak teruskan perjuangan anda.

Carilah bahagian anda...

Agak sukar hendak dijawab. Kerana saudara kaji mengikut jalan syariat. Syariat adalah disiplin disusun mengikut hukum. Kita mencari yang tersurat tetapi bercakap tentang zahir. Itulah kebiasaan kita.

Kita bercakap alam nyata apabila orang bercakap alam ghaib, kita jadi keliru kerana mana mungkin terlihat.

Ini bukanlah masalah, ini bukan bererti kita bodoh. Cuma kita belum faham dan kita mahu faham dengan cara kita sendiri.

Saya juga telah melalui jalan ini tetapi saya lebih kritis. Saya mempersendakan ilmu-ilmu hakikat, makrifat dan yang seumpamanya. Saya memperlekehkan jalan mereka. Semuanya karut marut.

Tetapi selang beberapa tahun saya terpukul apabila saya mula faham. Dia zahir Dialah bathin. Dia awal Dialah akhir. Saya mula berfikir setiap zahir tentu ada bathinnya. Di mana hendak mengetahui hal-hal ghaib sedemikian.

Tidak ada siapapun bisa mengesahkan kebenaran ataupun kebathilan. Kecuali diri yang bathin. Dia tidak pernah menipu dan ditipu. Pun jawabannya itu terletak kepada keupayaan-keupayaan kita. Tidak lebih dari itu.

Tuhan kita kenali mengikut pengenalan kita. Kalau kita kenal melalui peringatan-peringatan kerasNya, kita jadi takut kerana kerasnya itu. Kalau kita kenal melalui lemah lembut dan kasih sayangNya, kita jadi kekasih kepadaNya.

Setiap orang ada pengenalannya. Tidak sama. Ada yang terang ada yang kabur. Yang kabur berpegang pada kabur. Yang terang berpegang pada terang.

Kita kena faham ini:
(1) Tidak Dia ciptakan sesuatu itu sia-sia.
(2) Segalanya berlaku dengan kehendakNya.
(3) Dia Maha Sempurna, setiap ciptaanNya mutlaq sempurna.
(4) Dia Maha Mengetahui, setiap yang berlaku di dalam pengetahuanNya.
(5) Dia Maha Pemberi, tidak ada sesuatupun bukan daripada pemberianNya (banyak lagi).

Walau bagaimanapun anda sudah ada sifat kritis dalam pandangan(ilmu). Ini cukup baik. Jangan terus terima sahaja. Fikirkan kemudian kritik. Ia dapat membina ilmu-ilmu kukuh. Cuma pesan saya, jangan hanya mengutip bahagian(ilmu) oranglain. Carilah bahagian anda. Yang Maha Pemurah itu tidak pernah melupakan anda.

Penjelasan ini tentu tidak mampu menyakinkan anda. Tetapi sekurang-kurangnya matlamat saya di forum ini nampak berhasil. Saya mengajak netters ke alam fikir...

Kalau semua putih, membosankan!

Betapa orang cenderung pada kebaikan walaupun nalurinya mengintai-intai kejahatan. Ada orang cenderung pada kejahatan walaupun nalurinya membisik kebaikan. Ini lumrah kehidupan. Itulah yang membuat hidup ini indah. Kehidupan ini ibarat lukisan berwarna-warni. Kalau satu warna sahaja tidak menawan. Kalau semuanya putih pastinya tidak relistik. Kalau semuanya hitam membosankan.

Ia ibarat lukisan. Kalau kanvas itu putih kita guna warna putih tentunya lukisan tidak timbul. Mana mungkin kita lihat kontras warna dan keindahan. Jika cuma warna hijau tentu lukisan jadi kaku. Apapun jika kanvas putih dipalitkan hitam akan lahir sebuah lukisan.

Sekiranya lukisan penuh warna tampaklah keindahan 'wajah-wajah'nya. Di sana ada merah, biru, kuning, hitam, jingga, putih, samar, ungu, hijau. Bayangkan betapa indahnya lukisan itu. Terlahirlah wajah-wajah dalam bentuk warna-warna. Jika asyik warna indah jangan lupa di sana ada hitam yang kita benci. Jika seluruhnya putih... membosankan! Jadi kenapa takut pada hitam. Bukankah hitam itu menghidupkan?

Ini yang dikatakan haq dan bathil itu paut-memaut atau hidup-menghidupkan. Akhirnya mereka bersatu dan tidak dipisahkan. Perhatikan jika memakai satu warna sahaja, memang membosankan. Rumah warna merah, kereta merah, baju merah, kasut merah, alatan rumah merah, semuanya merah. Andaikata semua bunga berwarna merah semata-mata, tidak ada kuning, putih, biru dan seumpamanya... aduh seakan si Penciptanya tidak hebat! Seandainya semua berkaki dua, tidak ada berkaki empat, enam, lapan, sepuluh, seratus... Bosan. Tidakkah kita sedar ada yang tidak berkaki langsung! Hebatnya Penciptaan!

Ini adalah kiasan semata-mata (tentang warna-warna kebenaran).

Oh, itu merah...

Tidak ada siapa dapat menentukan kebenaran kerana ia berdiri dengan sendirinya. Dia tidak memerlukan pengiktirafan sesiapa. Pun kebenaran itu sifatnya tidak konsisten. Berubah-ubah mengikut pandangan si memandang.

Ibaratkan sahaja warna merah. Merah ros anda katakan merah, merah cili anda kata itu merah, merah darah anda katakan merah, merah epalpun anda kata merah. Jelas apabila dikumpulkan semua anda akan bezakan: Oh itu merah pekat, oh itu merah cair, oh itu merah tua, dan sebagainya.

Akan tetapi semua punya warna merah tetapi tidak konsisten merahnya. Begitu jugalah dengan kebenaran. Ia tetap benar walaupun tidak konsisten wajahnya. Tetapi di dalam warna merah itu terkumpul berbagai warna lain juga. Inilah yang perlu kita perhatikan. Kalau fikiran kita tajam terbukalah belbagai rahasia.

Bila bicara tentang tersirat kita perlu pemerhatian tajam. Ingatlah: Dia zahir Dia bathin. Tidak perlulah di ruang ini kita terlalu mendalam. Cukuplah untuk fikir-fikir.

Kita menamakan setiap sesuatu dengan kata dalam bahasa. Asalnya tidak bernama. Seperti pasir yang dididih lalu diadun jadi bekas minum lalu kita namakan gelas. Kita namakan mentol, kita namakan cermin, tempat abu rokok dan sebagainya. Asalnya tidak bernama dari unsur pasir. Pasir itu sendiri dinamakan walhal unsurnya dedebu. Dedebu pun dinamakan. Lalu bagaimana puncanya...?

Perlakuan-perlakuan ini sebenar sudah ujud ketika Adam. Lihat sahaja kisah anak-anak baginda bertelingkah, darimana perlakuan itu mereka ambil lalu menamakan?

Kenyataan "merah" itu adalah dari unsur kepelbagaian. Di sana terdapat "hitam, biru, kuning dan merah". Ataupun di dalam bahasa pengasingan warna (colour separation) dipanggil: cyan, yellow, magenta dan black. Dengan komposisi ini lahirlah warna merah itu (dan warna-warna lain juga).

Begitu juga "kebenaran". Di dalamnya terkandung kepelbagaian. Apabila elemen tertentu berubah maka 'tahap' kebenaran turut berubah. Ia tidak konsisten. Terlalu sulit untuk diterang di sini.

Orang mencuripun hakikatnya dalam kebenaran. Jika ditumpu hanya pada "salahnya" kita lupa 'kebenaran' di sebaliknya. Fikirkanlah.

Kenal gelap kerana cahaya

Barangsiapa mendapat ilmu di jalan kegelapan (taqlik) dia berhujah cara selindung kerana diri dalam keraguan. Barangsiapa mendapat ilmu di jalan terang biasanya berhujah dalam terang.

Saya banyak bertemu murid-murid dari perguruan tetapi hujah mereka jarang memukul minda. Barangkali mereka terlalu bergantung pada guru sehingga keupayaan diri tertutup rapat. Apabila guru mati, mati (terhenti) juga ilmu mereka.

Dalam diri ada guru. Guru ini tidak akan mati. Kita sentiasa diajar melalui persoalan-persoalan dari ketajaman perhatian (bacaan) kita. Dia yang menyoal dia menjawab. Inilah ilmu yang hidup dan terus hidup.

Kalau tidak ada JALAL tidak dikenalilah JAMAL itu. Inilah kesempurnaan Pencipta sebagaimana yang tercipta. Tidak dikenali yang HAQ jika tiada BATHIL. Sebagaimana kita mengenal gelap kerana adanya cahaya. Tanpa cahaya mana bisa gelap itu dikenali.

Inilah ilmu yang tinggi andainya kita "membaca" dengan bashirah masing-masing. Maqam ilmu seperti ini memerlukan tangkapan dan tenungan tajam. Yakni bagi mereka tidak buta mata hatinya...

Manusia ini diciptakan sebaik-baik kejadian... Fikirkan apakah maksud sebaik-baik kejadian itu. Jangan dicari jawapannya di Pustaka Indonesia. Carilah kitab (alquran) hidup dalam diri. Di sana seribu macam keajaiban bagi yang mahu berfikir.

Sesungguhnya banyak keajaiban ada pada diri tidak kita sadari. Jestru tidak digilap (lantaran kejahilan) ianya langsung pudar. Orang-orang besar (tokoh sufi) yang selalu kita jadikan idola adalah mereka yang tekun menggilap lampu keajaiban diri.

Barangkali keajaiban yang kita ada tidak sehebat keajaiban tokoh-tokoh ini, namun kita juga punya keajaiban. Jestru malas kita jadi jahil (bukan bodoh tapi kurang pandai).

Kebenaran itu tidak konsisten. Bathil itu juga tidak konsisten. Jadi kedua-duanya tidak konsisten sifatnya. Keduanya saling paut-memaut dan gaul-mengaul. Lalu bersatu samaada sedar atau tidak sedar. Apabila kita halusi sehalus-halusnya, nyata bathil itu tidak ujud. Yang ujud hanya benar (haq). Itulah hakikat...

Demi menguruskan kehidupan kita perlukan aturan maka terciptalah apa dinamakan 'hukum'. Landasan hukum bergantung kepada nisbah lojik sebagaimana AKAL itu bekerja. Apabila berdirinya hukum maka terlerailah di antara haq dan bathil. Kerananya hidup kita ini tersusun.