Sengaja kami singgah sebentar dalam keberatan nyata dan tidak tahu apakah kalam yang selesa. Maafkan kami...
Apabila Dia bertanya kitalah akan menjawab. Dan apabila kita pula bertanya, Dia menjawab. Begitu aneh hubungan ini sehingga kita lupa duduk tahu ilmu itu. Seperti burung terbang tinggi bertanyakan pada sayap; engkaukah atau anginkah? Atau di mana letaknya suara; pada bunyikah atau pada telinga?
Di manakah terkandungnya hikmah nasihat, pada sebaris ayat atau pada sebuah kitab? Anehnya kita jumpa dalam diam sunyi sehingga diusik malu kerana belum pernah faham. Pagi disangka petang dan petang disangka hujung malam. Betapa berat merangkaikan kalam-kalam terputus yang disangka berangkai-rangkai.
Tuan, hikmah manakah harus ditolak. Jika manis itu di lidah maka pahitpun harus di lidah juga. Bahagian lain tidak merasakan hikmah ini. Yang indah itu dinikmati tetapi yang 'terlalu indah' itu mengelirukan. Kami sendiri acap keliru. Mana mungkin melukis lukisan satu warna. Betapa hebatpun pelukis itu jika digunakan satu warna kita tidak akan menyaksikan apa-apa. Warna-warna itu hikmah dan nikmah tidak mampu dikutip walaupun bertaburan dalam diri.
Tunjukkan kami jalan lurus - itulah doa harian kita tetapi masih memilih jalan bersimpang-siur. Barangkali jalan beragam lebih selesa sebelum berdiri di jalan lurus. Mudah-mudahan Tuhan kurniakan kita kasih sayang berlimpah-ruah tak kiralah jalan mana kita (dia) pilih...
Tuan, siapakah lebih pemalu di antara kita? Siapakah lebih sunyi di antara kita, dan siapakah lebih pengasih di antara kita?
Tentu sahaja tuan...
Monday, May 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment